Wednesday, March 2, 2016

Resepi Sotong Kukus Limau..



Tahun baru 2016 ini adalah tahun yang mencabar bagi kita semua, bagaimana caranya kita mahu berjimat? Mari kita main masak masak. Disini dikongsikan satu resepi yang maha-simple bagi peminat makanan laut khasnya Sotong putih!

"Resepi Sotong Kukus Limau"

Bahan bahannya adalah :-


  1. Sotong 
  2. Cabai melaka merah, hijau 
  3. Sos ikan 
  4. Limau nipis 
  5. Daun ketumbar (akar sekali) 
  6. Gula 
  7. Bawang putih 
  8. Daun pudina 
  9. Lengkuas, serai

Cara caranya :-


Cuci sotong bersih-bersih 


Potong sotong macam dalam gambar atas tapi jangan sampai putus
Susun sotong dalam bekas untuk kukus, letak lengkuas, serai (potong). Akar ketumbar 
Sedikit bawang putih.. Letak atas sotong (tgk gambar bawah)


Kukus buka api paling kuat (full-power), 
Bila agak agak sudah masak buang air sotong (bukan buang semua).

Bahan Untuk Sos :- 



Sediakan bekas bersih, Tabur gula 1 sudu besar, 3 sudu besar air limau, 2 1/2 sudu sos ikan, satu ulas bawang putih dan cabai melaka potong (kacau hingga hancur).

Sos dah siap tuang atas sotong yang kita kukus tadi, angkat dan tabur daun ketumbar, daun pudina hias dengan hirisan sedikit limau letak atas sotong.

Sunday, November 24, 2013

Ekonomi negara makin kukuh

Peningkatan penarafan Malaysia daripada stabil kepada positif oleh agensi penarafan Moody’s adalah berita yang menggalakkan.

Peningkatan pandangan berkenaan dibuat bersandarkan pengukuhan fiskal dan langkah pembaharuan yang dilaksanakan serta kestabilan makroekonomi yang berterusan.
Pada Rabu lalu, firma penarafan Moody's Investors Service mengumumkan tinjauan penarafan A3 Malaysia ditingkatkan kepada positif daripada stabil.

Firma itu berkata, perubahan dalam unjuran itu dibuat bersandarkan kepada langkah pembaharuan yang dilakukan kerajaan dalam mengukuhkan kedudukan fiskal negara.

Tinjauan positif oleh Moody's itu juga dibuat hasil daripada jangkaan bahawa ekonomi Malaysia berupaya mencatatkan pertumbuhan kukuh meskipun berdepan cabaran dalam melaksanakan program penyusunan semula fiskalnya.


Tabungan domestik tinggi
Penarafan ke atas hutang Kerajaan Malaysia itu juga disokong oleh struktur kedudukan hutang yang menggalakkan, keteguhan pasaran modal tempatan serta tahap tabungan domestik yang tinggi.

Menyentuh perkembangan luar negara pula, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat telah memuktamadkan perjanjian penyelesaian dengan JP Morgan Chase sebanyak AS$13 bilion.

Ini adalah penyelesaian terbesar yang pernah dicapai di antara mana-mana syarikat dengan pihak kerajaan.

Pihak kawal selia amat serius mengenai isu berkenaan dan telah menghantar mesej bahawa tiada mana-mana pihak yang boleh mengatasi undang-undang dan pematuhannya adalah satu keutamaan.

Dalam hal berasingan, baru-baru ini Utusan Melayu (Malaysia) Bhd bercadang melaksanakan terbitan hak bagi menjana modal sehingga RM40 juta untuk mengukuhkan kedudukan kewangannya.


Laksana MGO

Sehingga tarikh pengumuman langkah itu, pemegang saham majoriti memegang 49.8 peratus saham syarikat.

Jika terbitan hak berkenaan tidak dilanggan sepenuhnya oleh pemegang saham yang lain, ia boleh mengakibatkan pemegang saham utama memiliki lebih kurang 67.2 peratus pegangan di dalam syarikat.

Dalam situasi itu, ia perlu melaksanakan tawaran am mandatori (MGO) bagi baki saham yang belum dimiliki.

Oleh kerana pemegang saham utama tidak berhasrat untuk melaksanakan MGO, pengecualian perlu dipohon daripada Suruhanjaya Sekuriti (SC) yang mana peruntukan perundangan dalam beberapa kes tertentu membenarkan pengawal selia pasaran modal itu memberi pengecualian berkenaan.

Ia juga tertakluk kepada kelulusan daripada pemegang saham lain yang tidak berkepentingan dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM).

Perkara ini sudah dibawa ke perhatian kami bahawa terdapat pihak yang tertanya-tanya sama ada layanan khas diberi untuk pengecualian itu.

Dalam konteks ini pada pandangan kami, pengecualian SC bukanlah sesuatu yang luar biasa dan pernah diberikan sebelum ini dalam beberapa kes tertentu.

Oleh yang demikian, SC perlu meneliti kes ini dan bergantung kepada budi bicara pihak berkuasa sama ada membenarkan pengecualian terbabit.
Petikkan dari Berita Harian.

Lama atau baharu, bukan faktor utama kemalangan

LEGA. Itulah kesimpulan yang dapat dibuat apabila Timbalan Menteri Pengangkutan, Abdul Aziz Kaprawi menjelaskan kerajaan tidak bercadang menetapkan tempoh usia kenderaan bagi tujuan pelupusan. Sejak ‘penemuan’ kajian bahawa kenderaan terutama yang berusia melebihi 12 tahun tidak selamat berada di jalan raya, ramai pengguna yang gelisah. Walaupun keputusan muktamad belum dibuat ketika itu, tetapi cakap-cakap yang kedengaran ialah kerajaan akan melaksanakan cadangan tersebut, maknanya kenderaan berusia 12 tahun akan dihapuskan. Maka banyaklah komentar yang didengar. Tidak kurang juga yang menuding jari terhadap kerajaan yang diterajui Barisan Nasional (BN). Pihak ini yang sentiasa mencari ‘kesalahan’ walaupun tujuan pelaksanaan cadangan itu untuk kebaikan akan mengambil kesempatan untuk memburukkan kerajaan.

Menyelak kembali bagaimana isu mengehadkan usia kenderaan ini timbul, ia adalah hasil kenyataan Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Prof. Dr. Wong Shaw Voon. Ketika itu di Melaka, pada 15 November lalu, beliau menyatakan bahawa kenderaan terutama yang berusia melebihi 12 tahun tidak selamat berada di jalan raya kerana ia mengundang risiko kematian lebih tinggi semasa kemalangan berbanding kereta baharu. Kenyataan itu seharusnya diteliti dengan baik supaya tidak ada pihak yang melatah dan membuat andaian tidak tepat berhubung kenyataan berkenaan.

Rujuk kembali beberapa fakta berkaitan kenyataannya iaitu:

* Kenderaan berusia terdedah dengan pelbagai kerosakan yang mungkin tidak disedari pemandu dan mengurangkan daya serapan tenaga pelanggaran ketika berlaku kemalangan.

* Kebanyakan kereta direka bentuk untuk jangka hayat antara lima hingga 12 tahun. Bagaimanapun jangka hayat kenderaan turut dipengaruhi beberapa faktor seperti reka bentuk, cara pemanduan dan penyelenggaraan.

* Kenderaan seperti teksi mempunyai jangka hayat selamat yang lebih pendek iaitu lima tahun disebabkan penggunaannya melebihi 12 jam sehari berbanding kereta lain.

* Kereta lama mempunyai daya menyerap tenaga perlanggaran lebih rendah berbanding kereta baharu dan daya tersebut kemudian dipindahkan kepada penumpang sehingga menyebabkan kecederaan teruk yang boleh mengundang risiko kematian.

* Kenderaan baharu dilengkapi teknologi terkini melibatkan reka bentuk kereta terutama untuk menyerap tenaga perlanggaran bagi mengurangkan risiko kematian akibat kemalangan.

Berdasarkan kenyataan itu, usia kereta bukan faktor utama sebaliknya turut melibatkan cara pemanduan serta penyelenggaraan yang betul bagi mengurangkan risiko kematian akibat kemalangan. Di jalan raya atau di lebuh raya, kenderaan yang bagaimana memecut laju? Mungkin disebabkan kelajuan ini, kereta itu terbabas dan melibatkan kereta lama yang sudah berusia. Dalam hal ini, siapakah yang bersalah? Adakah kereta yang sudah lanjut usia atau pemandu kereta baharu yang memecut laju sehingga terbabas? Di sinilah cara pemanduan menjadi faktor penyebab kemalangan.

Begitu juga dengan penyelenggaraan. Adakah setiap kenderaan yang berada di atas jalan menjalani ujian berkala sekurang-kurangnya setahun sekali? Jika ada di mana ia dilakukan? Lihatlah di jalan raya termasuk lebuh raya, adakah tidak ada langsung kereta baharu yang tersadai di tepi jalan? Berkaitan penyelenggaraan, cuba selak apa yang dilakukan terhadap teksi di negara ini. Begitu juga pengangkutan awam lain.

Teksi yang dikatakan jangka hayat hanya lima tahun tetapi boleh bergerak di atas jalan sehingga 10 tahun. Pernah sebelum ini, ia hanya layak untuk lima tahun tetapi kemudiannya boleh dijadikan kenderaan biasa. Jangka hayat itu kemudiannya ditingkatkan kepada tujuh tahun dan selepas itu boleh ditukar kepada kenderaan biasa. Seterusnya kini 10 tahun. Istimewanya teksi ini ialah, setiap kenderaan perlu memasuki pemeriksaan kenderaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) setiap enam bulan. Di situ pelbagai aspek fizikal kenderaan diperiksa termasuk keadaan tayar dan brek. Setiap kali pemeriksaan, pemandu dikenakan bayaran sebanyak RM55 dan jika gagal, kehadiran kali kedua dikenakan RM25. Bagi memastikan tidak menanggung kos berikutnya, maka setiap pemilik teksi perlu memastikan kenderaan mereka benar-benar dalam keadaan terbaik termasuk kebersihan. Semua ini memerlukan kos yang tinggi supaya ujian pertama di Puspakom tidak gagal. Gagal bermakna mereka akan hilang mata pencarian untuk beberapa hari. Dalam hal ini, bantuan Tayar 1Malaysia (TR1Ma) dapat meringankan beban pemandu teksi. Persoalannya kenapa mereka ini tidak dilayan seperti 1,000 pemilik Teksi 1Malaysia (Teks1M) yang dikecualikan membayar kos pemeriksaan?

Mengikut pengalaman kebanyakan pemandu teksi, mereka akan berhadapan dengan masalah disebabkan kualiti kenderaan yang dijadikan teksi. Ada sahaja masalah melibatkan teksi yang sepatutnya lasak bagi menampung jumlah penumpang dan jarak perjalanan setiap hari. Banyak kos yang dikeluarkan terutama semasa mahu memasuki Puspakom. Tidak hairanlah ada pemandu yang terpaksa meminjam tayar rakan-rakan lain semasa menjalani pemeriksaan. Begitulah ketegasan pihak berkuasa melakukan pemeriksaan terhadap teksi. Kenapa teksi atau pengangkutan awam lain sahaja yang perlu menjalani pemeriksaan ini? Adakah nyawa pemandu dan penumpang kenderaan lain tidak ada nilainya?

Kembali kepada jangka hayat kenderaan. Bayangkan jika had 12 tahun dilaksanakan. Berapa banyak pemilik kenderaan akan mengeluh. Sudah tentu ramai (kebanyakan golongan berpendapatan rendah) yang mempunyai kereta yang sudah berusia 12 tahun atau menghampiri usia itu. Golongan ini, membeli kenderaan melalui pinjaman bank dengan bayaran ansuran selama sembilan tahun. Pihak bank akan memberi apa sahaja alasan untuk mendorong pembeli memilih bayaran balik selama sembilan tahun. Ini bermakna selepas dapat bernafas sedikit setelah melangsaikan hutang selama 108 bulan, pemilik kenderaan hanya mempunyai tempoh empat tahun lagi sebelum kereta itu dilupuskan. Mahu dijual mungkin murah. Masuk akhir tahun 12, pengguna akan mula memikirkan untuk memulakan hutang baru bagi membeli kenderaan. Begitulah seterusnya. Semuanya ini pasti akan memberi kesan kepada kos kehidupan rakyat terutama golongan berpendapatan rendah.

Adakah langkah ini juga bertujuan mengurangkan jumlah kenderaan di atas jalan raya terutama di kawasan bandar?

Seperkara lagi, sejauh mana usaha yang dilakukan untuk mengurangkan kemalangan di jalan raya? Beberapa langkah yang diambil sebelum ini nampaknya kurang mendapat perhatian banyak pihak malahan ada yang membuat bantahan. Memang agak sukar untuk memperkenalkan sesuatu demi kebaikan bersama. Ada sahaja alasan dan asakan yang ditimbulkan sehingga pihak berkuasa yang melaksanakan undang-undang berada dalam keadaan serba salah. Begitulah apabila pihak berkuasa perlu akur mendengar isi hati rakyat

Petikan dari Utusan Malaysia.

Wednesday, November 6, 2013

Kerajaan sedia subsidi rakyat beli rumah mampu milik

KUALA LUMPUR 8 Okt. - Kerajaan akan menyediakan subsidi antara RM15,000 dan RM20,000 bagi membolehkan rakyat membeli rumah mampu milik, kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.
Beliau berkata, Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) akan membina tiga jenis rumah mampu milik dengan tiga bilik tidur berharga RM65,000, RM55,000 dan RM45,000.
"Bagi rumah berharga RM65,000, kerajaan akan memberikan subsidi RM20,000.
Bagi kediaman berharga RM45,000, subsidi yang disediakan sebanyak RM15,000," katanya kepada pemberita ketika ditemui di luar acara Simposium Zakat Perniagaan Nasional 2013 di sini.
Beliau juga berkata, Belanjawan 2014 yang akan dibentangkan di Parlimen 25 Okt ini merupakan bajet ’mesra rakyat’ yang memberi tumpuan ke atas kediaman mampu milik dan pembangunan infrastruktur.
Ahmad Husni berkata, kerajaan juga mahukan SPNB menjadi pemaju rumah mampu milik berskala besar untuk rakyat, membina banglo dengan harga jualan kira-kira RM250,000, selain rumah berkembar dua dan rumah teres, masing-masing berharga RM100,000 dan RM80,000.
"Kerajaan juga akan menekankan pembangunan infrastruktur dalam bajet akan datang, terutama di kawasan yang kurang mendapat akses bekalan elektrik, air dan jalan," katanya.
Dalam ucaptamanya, Ahmad Husni berkata, simposium itu menunjukkan inisiatif yang semakin meningkat dalam usaha menyelaraskan amalan perniagaan moden yang berlandaskan prinsip Islam.
"Kerajaan membuat beberapa peruntukan untuk zakat individu, termasuk perakuan ke atas keseluruhan jumlah yang dibayar sebagai rebat cukai.
"Bagi zakat perniagaan, kerajaan mencadangkan zakat ke atas pendapatan perniagaan yang dibayar oleh syarikat, boleh ditolak cukai dalam pengiraan cukai pendapatan korporat, tidak melebihi 2.5 peratus daripada pendapatan agregat," katanya.
Simposium sehari itu dianjurkan oleh Institut Akauntan Malaysia dan Universiti Tenaga Nasional. Ia bermatlamat meningkatkan standard piawaian perakaunan dan amalan pelaporan untuk semua pemegang kepentingan dalam ekosistem zakat. - BERNAMA

Kurangkan Gula untuk kesihatan yang lebih sihat

Gula merupakan diet yang boleh memudaratkan kesihatan kita. Tanpa disedari, banyak orang suka makan makanan atau minuman yang tersangatlah manis. gula merupakan glukosa yang boleh menambah kalori dan akan disimpan sebagai lemak di dalam tubuh sehingga menyebabkan obesiti dan penyakit diabetes. Jika kita sentiasa mengambil makanan yang manis, kita mempunyai berpeluang besar untuk menghidap penyakit diabetes atau lebih dikenali sebagai kencing manis.  untuk masa kini tiada ubat yang dapat merawat penyakit diabetes hingga pulih sepenuhnya. Pesakit diabetes di negara kita pun telah meningkat secara drastik dan mendadak, iaitu ada sebanyak 3 juta orang rakyat Malaysia telah dikenal pasti sebagai pesakit diabetes. Lebih-lebih lagi pesakit diabetes semakin muda. Hal ini memang membimbangkan. Senario ini bersangkut paut dengan penduduk Malaysia yang suka makan kuih-muih, juadah, makanan ringan dan minuman ringan yang manis. Pesakit diabetes yang kronik akan mengalami keratan anggota badan, terutamanya kaki, kerosakan buah pinggang dan kerosakan penglihatan malah mengalami maut. Ternyata gula bagai racun yang dapat menjejaskan kesihatan secara anjakan. Ada kalanya kanak-kanak yang nakal sering dimarahi atau dipukul oleh ibu bapa mereka. Adakah ibu bapa atau guru pernah mengkaji tentang penyebab budak itu nakal dan tidak dapat menumpukan perhatian atau memasang telinga di dalam kelas? Adakah anda pernah terlintas dalam otak anda bahawa kenakalan seseorang budak ada kaitan dengan pengambilan gula secara berlebihan? Menurut pakar perubatan, pengambilan gula secara berlebihan boleh menjejaskan pertumbuhan otak seseorang kanak-kanak. Hal ini akan mengganggu saraf mereka sehingga menjejaskan keseimbangan hormon. Setelah dikaji oleh ahli sains, pengambilan gula secara berlebihan akan menyebabkan kanak-kanak menjadi hiperaktif, gelisah dan nakal. Kanak-kanak berkenaan juga akan rasa mengantuk , kurang cergas bahkan menjejaskan pencapaian pelajaran mereka. Malangnya budak yang sedemikian selalu digelari sebagai budak yang “nakal”. Oleh itu, ibu bapa harus memastikan bahawa mereka tidak lagi menggunakan gula-gula dan aiskrim yang manis untuk memujuk anak kecil yang menangis sehingga mereka ketagihan gula.
Dalam konteks ini, kerajaan terpaksa menanggung beban yang tinggi akibat daripada rakyat kita yang suka mengambil makanan dan minuman yang manis. Saban tahun, kerajaan kita terpaksa memperuntukkan 1 bilion ringgit untuk memberikan subsidi dalam gula, iaitu kira-kira 1.2 juta tan metrik gula. Selain itu, negara kita terpaksa mengimport berbilion-bilion ringgit gula dari negara lain. Walhal wang tersebut boleh digunakan untuk pelbagai pembangunan, terutamanya membasmi kemiskinan di luar bandar. Bukan itu sahaja, Kementerian Kesihatan terpaksa memperuntukkan berjuta-juta hingga berbilion-bilion ringgit dalam perubatan, khususnya penyakit diabetes. Ubat prioriti tentang penyakit diabetes adalah insulin dan kos perubatannya adalah sangat tinggi. Akibat pengambilan gula yang terlalu banyak telah menjejaskan defisit ekonomi negara. Hal ini adalah tidak berbaloi.
Seperti peribahasa, “mencegah lebih baik daripada mengubati”, kita perlu mengambil tindakan segera sebelum nasi menjadi bubur. Untuk menangani masalah tersebut semakin kritikal, kerajaan kita perlu mengadakan kempen secara besar-besaran di seluruh negara untuk mencelikkan minda rakyat kita agar mengurangkan pengambilan gula. Masyarakat kita perlu dimaklumkan tentang risiko pengambilan gula secara berlebihan. Media massa sebagai medium yang paling signifikan untuk menyalurkan pengetahuan tentang keburukan mengambil gula. Melalui ceramah, iklan, dokumentari, dan rencana, rakyat kita dapat disedarkan supaya meminimumkan pengambilan gula. Rakyat kita bukan sahaja perlu mengelakkan makanan atau minuman ringan yang manis tetapi juga perlu mengurangkan gula dalam masakan mereka. Oleh itu, kempen kesedaran yang berkala sangat penting untuk memperingatkan masyarakat kita supaya mengurangkan pengambil gula.
Selain itu, salah satu prakarsa yang dominan untuk membendung rakyat kita mengambil gula secara berlebihan adalah memansuhkan subsidi terhadap harga gula di pasaran tempatan. Kerajaan harus berani menghadapi tekanan politik dengan membuat tindakan yang drastik demi kebaikan rakyat dan negara dalam jangka masa panjang. Setelah memansuhkan subsidi, harga gula akan mengikut pasaran dunia. Harga gula pasti akan menjulang sehingga orang ramai berasa beban untuk menggunakan gula. Secara spontan, rakyat kita pasti akan mengurangkan penggunaan gula dalam rutin hidup mereka. Kerajaan juga hendak melarang produk susu pekat dan melarang semua kantin sekolah menjual minuman ringan kepada pelajar. Syarikat makanan dan minuman harus diberikan piawaian supaya mengurangkan glukosa dalam kandungan produk mereka. Rakyat Malaysia tidak boleh lagi dimanjakan sehingga mengambil gula secara berlebihan tanpa disedari gara-gara diberikan subsidi.
Secara intihanya, kerajaan perlu bertindak secara bijaksana untuk menangani masalah ini, seperti peribahasa,”menarik rambut dalam tepung”. Jika rakyat kita masih dibiarkan dengan mengambil gula secara berlebihan, kesihatan rakyat Malaysia akan terjejas sehingga mengganggu perkembangan sosioekonomi Malaysia. Rakyat Malaysia perlu mentransformasikan mentaliti dan gaya hidup mereka. Kita perlu mengaplikasikan umpama memeras nyiur, santan diambil hampas dibuang, iaitu mengamalkan tabiat yang positif dan menjauhi amalan yang negatif. Insya-Allah, rakyat sihat negara maju.

Thursday, October 31, 2013

Isu Harga Rumah Akan Dibentangkan Pada Bajet 2014


PUTRAJAYA – Isu penurunan dan pengawalan harga rumah dijangka menjadi sebahagian intipati Belanjawan 2014 yang akan dibentangkan pada Oktober depan.Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata kementeriannya telah diminta mendapatkan cadangan dan idea daripada pihak industri perumahan melalui penganjuran makmal berhubung isu tersebut. “Mereka yang terlibat dalam makmal tersebut terdiri daripada pihak industri seperti pemaju, persatuan pembeli rumah dan pihak berkepentingan lain,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Inisiatif Menurunkan Harga Rumah di sini hari ini.
Beliu berkata apa yang dicadangkan nanti lebih kepada dasar, daripada segi fiskal dan polisi contohnya Cukai Keuntungan Hartanah Sebenar (RPGT), setem duti dan sebagainya.
Abdul Rahman berkata makmal itu juga membincangkan mengenai jalan terbaik untuk menangani isu kenaikan harga rumah yang mendadak sejak lima tahun kebelakangan ini.
“Penganjuran makmal berkenaan juga turut disokong Perdana Menteri memandangkan isu perumahan sentiasa menjadi agenda utama kerajaan,” katanya.
Kementerian juga katanya telah mewujudkan sebuah jawatankuasa pemantauan terhadap janji kerajaan untuk mewujudkan satu juta unit rumah mampu milik dalam masa lima tahun akan datang.
“Kita telah diarahkan untuk memantau projek di bawah Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), PR1MA, Unit Kerjasama Awam-Swasta (UKAS), dan agensi kerajaan negeri supaya objektif tersebut dapat dicapai dan mesyuarat pertama berhubung perkara itu telah diadakan pada dua bulan lepas,” katanya. – BERNAMA

BAGET 2014

Ringkasan intipati kandungan bajet 2014 belanjawan

Ringkasan intipati kandungan Bajet 2014 belanjawan Malaysia
Secara keseluruhannya Bajet 2014 menyaksikan peningkatan kira-kira RM31 billion berbanding bajet tahun lalu iaitu sebanyak RM232.8 bilion dengan RM201.9 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan RM49.7 bilion bagi perbelanjaan pembangunan
 
Ia bertemakan “Memperteguh Ketahanan Ekonomi, Memperkasa Transformasi dan Melaksana Janji”, Bajet 2014 merupakan bajet pertama selepas kerajaan Barisan Nasional (BN) sekali lagi diberi mandat dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu
Bajet 2014 yang menggariskan lima teras utama itu juga merupakan bajet kelima yang direncana Najib selaku Menteri Kewangan sejak 2009
Klik pautan (link) http://www1.treasury.gov.my/data/ucapan/ub14.pdf untuk membaca atau muat turun (download) teks penuh ucapan bajet tahun 2014 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
Intipati Bajet 2014 Ringkasan Dan Rumusan
Kadar BR1M Dinaikkan
  • Pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah akan dinaikkan daripada RM500 kepada RM650
  • Individu bujang berumur 21 tahun dan ke atas yang berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan, nilai bantuan akan dinaikkan daripada RM250 kepada RM300
  • BR1M 3.0 diperluaskan kepada isi rumah yang berpendapatan bulanan antara RM3,000 hingga RM4,000 dengan nilai bantuan sebanyak RM450
Subsidi Gula Dimansuhkan
  • Subsidi gula sebanyak 34 sen akan dimansuhkan mulai 26 Oktober 2013. Ini bertujuan sebagai langkah kerajaan untuk mengurangkan masalah kesihatan terutamanya diabetes dan kencing manis
  • Harga gula akan naik RM2.84 sen sekilogram mulai 26 Oktober 2013
Saya menyeru agar kita bersama-sama jaga kesihatan, kurangkan manis dalam makanan dan minuman. Tambahkan manis dalam senyuman, kata Najib
Kakitangan Awam Terima Bonus Setengah Bulan Gaji, Minimum RM500,persara RM250
  • Kerajaan mengumumkan bonus setengah bulan gaji, minimum RM500
  • Pesara, kerajaan juga akan memberi Bayaran Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM250
    Akan dibayar pada awal Januari 2014
Bantuan Persekolahan RM100 Diteruskan
  • Bantuan persekolahan RM100 kepada pelajar sekolah rendah dan menengah tetap diteruskan
Kadar Baucar Buku Diteruskan
  • Baucar Buku RM 250 bagi setiap pelajar pra – universiti dan Institut Pengajian Tinggi di Malaysia diteruskan
 
Kelajuan Internet Dinaik Taraf
  • Kerajaan akan melaksana fasa kedua projek Jalur Lebar Kelajuan Tinggi (HSBB) dengan usaha sama sektor swasta melibatkan pelaburan RM1.8 bilion bagi meluaskan liputan ke bandar-bandar utama. Kelajuan Internet akan ditambah kepada 10 Mbp
  • Rangkaian HSBB akan diperluas ke kawasan pinggir bandar pada kos RM1.6 bilion, dengan capaian Internet ditambah kepada antara empat dan 10 Mb
Program Perumahan Rakyat
  • 223,000 unit rumah pada harga berpatutan
  • Rumah harga berpatutan akan dibina menerusi Program Perumahan Rakyat (PPR) dengan peruntukan berjumlah RM578 juta. PPR ialah program kerajaan untuk penempatan semula setinggan dan memenuhi keperluan tempat kediaman bagi golongan berpendapatan rendah. Rumah-rumah PPR dijual pada paras harga antara RM30,000 dan RM35,000 seunit di Semenanjung Malaysia dan RM40,500 seunit untuk Sabah serta Sarawak
  • 80,000 unit rumah akan dibina menerusi program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dengan peruntukan RM1 bilion dan setiap unit rumah dijual 20 peratus lebih rendah daripada harga pasaran
Kadar GST lebih rendah
  • Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) akan dilaksanakan mulai 1 April 2015 pada kadar enam peratus, lebih rendah daripada kadar cukai-cukai sedia ada
Bantuan yuran taska RM250 sebulan
  • Ibu bapa berpendapatan bulanan tidak melebihi RM900 yang menghantar anak-anak ke taska swasta yang berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menerima bantuan yuran taska sebanyak RM250 sebulan
Penbangunan Sukan RM239 juta
  • Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM239 juta dalam Bajet 2014 bagi meneruskan kecemerlangan sukan yang merangkumi menaik taraf kompleks dan gelanggang sukan di negara ini
Program Pertanian
  • Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM6 bilion untuk pelaksanaan program pertanian yang mempunyai nilai tambah tinggi dan berdaya komersil
 

Tuesday, December 13, 2011

KITA DILANDASAN YANG BETUL

Hakikatnya, Malaysia adalah negara yang berjaya. Dalam tempoh yang singkat, kita telah merubah wajah Malaysia dari sebuah negara pertanian berpendapatan rendah menjadi negara perindustrian moden berpendapatan sederhana tinggi. Kita kini berada di landasan yang betul dalam menuju ke arah negara maju berpendapatan tinggi pada tahun 2020.

Laporan dari agensi bebas luar iaitu Global Competitiveness Report 2011 - 2012 membuktikan kecekapan kerajaan dalam menguruskan ekonomi negara demi kemakmuran dan kesejahteraan rakyat. Butiran yang terkandung dalam laporan tersebut menyatakan :-

  1. Kadar inflasi Malaysia adalah yang terendah, 1.7% berbanding Mesir 11.7%, Indonesia 5.1% , Arab Saudi 5.4%.
  2. Kadar kepercayaan masyarakat kepada ahli politik di Malaysia adalah pada tangga 25 di dunia, lebih baik dari China (26) Jerman (37) Amerika Syarikat (50) dan Jepun (55)
  3. Kedudukan Malaysia adalah pada tangga 10 daripada 142 yang dinilai oleh World Economic Forum yang berpengkalan di Geneva, Switzerland.
  4. Ketelusan polisi kerajaan Malaysia adalah pada tangga ke 26.
  5. Kadar pembayaran gaji dan produktiviti di Malaysia adalah yang ke 4 terbaik di dunia.
  6. Kualiti pendidikan di Malaysia adalah pada tangga ke 14 terbaik di dunia.
  7. Kedudukan infrastruktur jalanraya di Malaysia adalah pada tangga ke 18 terbaik di dunia.
  8. Kualiti pelabuhan di Malaysia juga berada yang ke 15 terbaik di dunia.
  9. Perlindungan kepada pelabur di Malaysia juga adalah yang ke 4 terbaik di dunia. Dakwaan bahawa negara ini tidak selamat untuk pelabur seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak adalah fitnah pembangkang semata-mata.

Kejayaan ini tidak datang bergolek dan tidak terhidang di atas dulang emas. Ia adalah hasil ikatan kerjasama dan perangcangan yang sistemetik antara Kerajaan dan Rakyat 1Malaysia.

*petikan dari abu ubaidi

Belia modal insan berkualiti jamin masa depan negara

MAJU atau mundur sesebuah negara pada masa depan banyak bergantung kepada pembangunan golongan belia. Sebab itulah, belia hari ini menjadi aset penting kepada negara kerana merekalah bakal menerajui tampuk kepemimpinan masa depan. Pepatah ada mengatakan bahawa belia adalah pewaris negara amat bertepatan kerana mereka akan mewarisi tampuk pemerintahan negara apabila tiba masanya. Di tangan merekalah negara dicorakkan, termasuk melakukan perubahan dikehendaki. Bagi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak belia dianggap sebagai ‘superhero’ kerana mereka sememangnya golongan yang mempunyai kuasa melakukan perubahan berkenaan. Program transformasi yang dilaksanakan kerajaan tentunya bergantung kepada keupayaan belia untuk meneruskannya dengan lebih sempurna andainya tenaga dan fikiran orang muda ini dijana bersama dengan kerajaan. Kita memahami pendirian Perdana Menteri apabila beliau menegaskan bahawa kerajaan sentiasa terbuka untuk mendengar pandangan dan idea orang muda bagi membangunkan negara. Generasi yang ada sekarang akan melalui zaman mereka dan apabila tiba masanya, kepemimpinan negara akan diambil alih golongan ini dan pembangunan negara perlu diteruskan, ibarat menyerahkan baton kepada generasi akan datang. Apabila menerima baton ini, adalah menjadi tanggungjawab mereka pula untuk membawanya lebih jauh agar negara dapat mencapai tahap kemajuan lebih tinggi. Oleh itu, tidak ada salahnya sekiranya sebagai pewaris negara, mereka turut berfikiran kritikal dan memberi pandangan positif kerana ia adalah kunci kejayaan negara. Sebab itulah kerajaan pimpinan UMNO sebagai parti teras dalam Barisan Nasional sentiasa memberi fokus kepada generasi muda agar bersama kerajaan dalam membangunkan negara.
Belia pula harus membuktikan berkemampuan menyahut cabaran kerajaan untuk tampil dengan semangat tinggi sebagai generasi pelapis bagi memikul tanggungjawab terhadap negara, bangsa dan agama pada masa depan. Seperti kata Perdana Menteri, kekuatan sesebuah kerajaan bukannya kerana faktor ketenteraan tetapi minda dan ilham yang dapat dijadikan kenyataan demi manfaat rakyat. Belia hari ini harus bersedia dan dipersiapkan dengan ciri-ciri hebat untuk muncul sebagai modal insan berkualiti tinggi, bertanggungjawab dan mempunyai jati diri supaya boleh diharapkan untuk memimpin negara dan mensejahterakan rakyat. Mereka tidak boleh terjebak dengan gejala rasuah, jenayah, penagihan dadah, seks bebas dan masalah sosial yang merosakkan akhlak. Sebagai pewaris kepemimpinan negara, belia juga harus berwaspada agar tidak terpengaruh dengan dakyah pembangkang yang sentiasa berusaha menggagalkan setiap dasar kerajaan kerana ia boleh menghancurkan masa depan negara.
*petikan dari minda pengarang berita harian

Swasta dibantu laksana PR1MA

SEREMBAN: Kerajaan akan membantu pemaju swasta melaksanakan Program Perumahan 1Malaysia (PR1MA), iaitu perumahan mampu milik berkualiti untuk golongan berpendapatan sederhana dengan menyediakan dana pembangunan prasarana projek berkenaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata kaedah itu adalah cara kerajaan campur tangan menjayakan perkongsian awam-swasta, tetapi kos prasarana berkenaan sangat kecil daripada nilai keseluruhan projek.
Katanya, projek perumahan mampu milik dimajukan Sime Darby di sini, menepati konsep perumahan mampu milik dan berkualiti yang sedang diperjuangkan kerajaan untuk rakyat berpendapatan sederhana.
“Rumah berharga antara RM200,000 hingga RM250,000 dan apartmen studio berharga dalam lingkungan RM140,000 dapat memenuhi keperluan golongan berpendapatan antara RM2,000 hingga RM6,000 yang amat memerlukan rumah.

“Bagaimanapun, mereka tidak mampu akibat harga rumah sangat tinggi di pasaran, tetapi melalui kerjasama antara swasta dan kerajaan, saya percaya dapat membekalkan rumah berkualiti untuk dimiliki golongan ini,” katanya pada sidang media selepas melancarkan PR1MA Sime Darby di Bandar Ainsdale, Jalan Labu dekat sini, semalam.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan; Pengerusi Sime Darby Berhad, Tun Musa Hitam serta Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Sime Darby, Datuk Mohd Bakke Salleh.

Kira-kira 62 hektar daripada 220 hektar pembangunan Bandar Ainsdale diperuntukkan untuk pembinaan 420 rumah mampu milik berkualiti.
Antara pemaju lain terbabit dalam fasa pertama PR1MA ialah Putrajaya Holdings, SP Setia Bhd, Tradewinds, Cyberview Sdn Bhd, MRCB Resources Bhd dan 1MDB dengan keluasan keseluruhan 370.04 hektar.

Terdahulu ketika berucap, Najib mengingatkan pemaju swasta supaya memajukan PR1MA sebagai projek untuk rakyat serta tidak mengambil terlalu banyak untung, tetapi pada masa sama tidak hingga menanggung kerugian.

Katanya, selepas PR1MA dilancarkan di Putrajaya Julai lalu dan kini di Bandar Ainsdale, lebih banyak projek perumahan mampu milik untuk golongan berpendapatan sederhana akan dilancarkan secara berperingkat di seluruh negara.

“Ketika dilancarkan di Presint 13 Putrajaya, sambutannya amat hebat hingga saya sendiri khuatir dan gerun. Ini kerana harga rumah dibina antara RM50,000 hingga RM60,000 lebih murah berbanding pasaran,” katanya.

Sementara itu, Najib berkata, kerajaan peka dengan kehendak dan keperluan rakyat, terutama apabila proses urbanisasi berlaku di negara ini menyebabkan kira-kira 70 peratus penduduk tinggal di bandar.

Katanya, ketika golongan berpendapatan rendah mendapat bantuan memiliki rumah dan golongan kaya tidak berdepan masalah berbuat demikian, golongan berpendapatan sederhana kurang mendapat perhatian menyebabkan kerajaan memperkenalkan PR1MA.

Sunday, August 7, 2011

Salam Ramadhan

KELEBIHAN RAMADHAN
Bulan Ramadhan merupakan bulan yang mempunyai banyak kelebihan. Kedatangannya selepas dua bulan yang juga tidak kurang keistimewaannya iaitu Rejab dan Sya'ban. Bagi tujuan menyuburkan rasa tanggungjawab dan rasa ingin menambahkan ibadat kepada Allah sepanjang Ramadhan ini, di sini dibawa beberapa hadis yang menceritakan mengenai kelebihannya.
1. Abu Hurairah menyatakan : Telah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : Apabila telah tibanya Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan. -Hadis dikeluarkan oleh imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad dan Baihaqi-
2. Daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud :Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu. - Diriwayat oleh imam Nasai'e, Ibn majah, Ibn Habban dan Baihaqi-
3. Abu Hurairah telah berkata : Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda tentang Ramadhan yang bermaksud : Sesiapa yang mendirikannya(Ramadhan) penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya apa dosanya yang telah lalu. - Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai'e,Malik,Ahmad dan Baihaqi-
4. Daripada Abu Hurairah telah berkata: Rasullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Sembahyang yang difardhukan kepada sembahyang yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan Jumaat kepada Jumaat yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan bulan kepada bulan(iaitu Ramadhan) merupakan kaffarah apa antara keduanya melainkan tiga golongan : Syirik kepada Allah, meninggalkan sunnah dan perjanjian (dilanggar). Telah berkata Abu Hurairah : Maka aku tahu perkara itu akan berlaku, maka aku bertanya: Wahai Rasulullah! adapun syirik dengan Allah telah kami tahu, maka apakah perjanjian dan meninggalkan sunnah? Baginda S.A.W bersabda : Adapun perjanjian maka engkau membuat perjanjian dengan seorang lain dengan sumpah kemudian engkau melanggarinya maka engkau membunuhnya dengan pedang engkau, manakala meninggal sunnah maka keluar daripada jamaah(Islam).-Hadis riwayat Ahmad, Al-Hakim, dan Baihaqi-
5. Daripada Abi Soleh Az-zayyat bahawa dia telah mendengar Abu Hurairah berkata: Rassullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Setiap amalan anak Adam baginya melainklan puasa maka ia untukKu dan Aku akan membalasnya. Dan puasa adalah perisai, maka apabila seseorang berada pada hari puasa maka dia dilarang menghampiri(bercumbu) pada hari itu dan tidak meninggikan suara.Sekiranya dia dihina atau diserang maka dia berkata : Sesungguhnya aku berpuasa demi Tuhan yang mana diri nabi Muhammad ditanganNya maka perubahan bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari qiamat daripada bau kasturi, dan bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya. -Hadis riwayat imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Habban dan Baihaqi-
PENERANGAN HADIS
1. Semua hadis menceritakan betapa besarnya kelebihan bulan Ramadhan untuk kita sama-sama menghidupkannya dengan segala amalan sunnah.
2. Pintu syurga dibuka sepanjang Ramadhan, manakala pintu neraka pula ditutup. Ini menggambarkan bagaimana Allah begitu mengasihani hambaNya yang taat beribadat dan menurut segala perintahNya.
3. Syaitan diikat sepanjang bulan Ramadhan agar kita dapat menunaikan segala ibadat dengan penuh keikhlasan. Tetapi kita perlu ingat bahawa kawan syaitan yang berada pada diri kita iaitu nafsu akan menggantikan tugas syaitan jika kita lalai.
4. Pentingnya keikhlasan dan keimanan kita dalam menunaikan ibadat.
5. Puasa mampu menjadi perisai diri daripada terjebak ke lembah maksiat, begitu juga ia mampu menghapuskan segala dosa-dosa yang lepas jika kita benar-benar bertaubat.
6. Kita mesti menghidupkan sunnah yang mana yang paling besar ialah berada dalam jemaah Islam terutama di dalam mengembalikan semula khilafah Islamiah yang telah lama dihancurkan iaitu pada 1924.
7. Jauhkan daripada syirik pada Allah sama ada berbentuk perbuatan, niat ataupun percakapan. Kita mesti mematuhi segala perjanjian yang dibuat selagi tidak melanggar hukum syarak.
8. Kita mesti berpuasa pada semua anggota bukannya pada makan dan minum sahaja.
9. Bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada bauan kasturi.
10. Orang berpuasa akan mengecapi dua kegembiraan iaitu ketika berbuka dan apabila bertemu Allah kelak.
11. Di dalam menunaikan ibadat puasa kita mesti banyak bersabar dan jangan suka berbual kosong apatah meninggikan suara apabila bercakap.

Monday, February 7, 2011

GST TIDAK SEBABKAN HARGA BARANG NAIK

Pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada kadar jangkaan sebanyak empat peratus, tidak akan menyebabkan harga barangan naik berdasarkan imbangan (offset) penghapusan cukai jualan dan perkhidmatan.

Pengerusi Panel Penilaian Cukai Kementerian Kewangan, Datuk Kamariah Hussain berkata, secara logiknya dengan pelaksanaan GST pengguna hanya perlu membayar cukai sebanyak empat peratus berbanding lima peratus bagi cukai perkhidmatan sebanyak lima peratus dan jualan sebanyak 10 peratus.

Pelaksanaan GST adalah bersifat progresif memandangkan jangkaan peratusan yang akan dikenakan adalah pada kadar empat peratus berbanding kadar cukai jualan dan perkhidmatan yang dikenakan sekarang,’’ katanya pada Forum GST anjuran Affin Bank Bhd. di sini, hari ini.

Pelaksanaan GST mampu mengurangkan kadar cukai yang dikenakan ke atas pendapatan individu dan korporat selain meningkatkan hasil cukai serta mengelakkan berlakunya ketirisan dalam menjana pendapatan negara.

GST bertujuan menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang diperkenalkan sejak 1972, kini diterima pakai di 143 buah negara seluruh dunia.

GST tidak membebankan rakyat kerana pengecualian diberikan ke atas barangan keperluan seperti produk-produk pertanian serta makanan asas.

GST juga berupaya mengurangkan kos operasi para peniaga di negara ini dengan penjimatan tahunan sebanyak RM4 bilion bagi semua sektor perniagaan dan RM1.4 bilion untuk sektor eksport.

Katanya, ini kerana syarikat yang mencatatkan perolehan tahunan kurang daripada RM500,000 adalah dikecualikan daripada membayar GST.

Ditanya mengenai pendaftaran syarikat di dalam sistem kerajaan, Kamariah berkata, buat masa ini belum ada sebarang pendaftaran yang diterima kerana kerajaan belum membuat sebarang keputusan mengenai pelaksanaannya

Thursday, January 6, 2011

PM Ajak Rakyat Corak Masa Depan Lebih Baik

KUALA LUMPUR, 31 Dis – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyeru seluruh masyarakat Malaysia untuk menunaikan tanggungjawab bagi mencorakkan masa depan yang lebih baik demi generasi akan datang, serta meletakkan negara di kedudukan yang sepatutnya.

Najib, dalam perutusan Tahun Baru 2011 berkata, tanpa sokongan dan kerjasama rakyat, segala yang dirancang dan mahu dilaksanakan oleh kerajaan tidak akan menemui kejayaan.
“Janganlah kita hanya berpuas hati dan hanya berpeluk tubuh menjadi pengkritik di tepian. Marilah kita corakkan masa depan generasi hari muka kepadayang lebih baik daripada hari ini. Kuasa membentuk adalah di tangan rakyat. Tunaikanlah tanggungjawab ini dengan sebaik-baiknya,” katanya.

Najib juga mengingatkan generasi kini supaya tidak memperdagang atau mempertaruhkan nasib generasi akan datang dengan membuat keputusan yang salah.

“Ini bukanlah masa untuk bereksperimen tetapi waktu untuk memperbaharui kepercayaan dan mengukuhkan keyakinan kepada apa yang telah terbukti berkesan,” katanya.
Kata Najib, dalam menguruskan negara, terutamanya ehwal ekonomi, kerajaan sentiasa mengamalkan sikap penuh kebertanggungjawaban.

“Sebagai kerajaan yang begitu prihatin dalam meresapi nadi dan naluri rakyat, kita tidak akan sekali-kali membelakangkan kepentingan orang ramaidengan menjanjikan sesuatu atau mengambil sebarang keputusan yang pada mata kasarnya popular namun hakikatnya bersifat amat menjejaskan kemudian hari terhadap kepentingan semua,” katanya.
Perdana Menteri berkata sememangnya mana-mana kerajaan yang menggubal atau menjanjikan dasar-dasar sekadar bersifat popular tetapi tidak bertanggungjawab mungkin akan mendapat pengiktirafan atau sanjungan jangka pendek tetapi untuk tempoh masa panjang, rakyat yang sebenarnya akan menderita.

“Mengambil iktibar daripada kekhilafan-kekhilafan sekeliling, sepanjang 2010, kita telah merancang asas-asas yang kukuh bagi menentukan keseluruhanpotensi dan sumber negara mampu dirangsang serta diaturgerakkan ke arah tercapainya wawasan kebangsaan,” katanya.
Antara yang diperkenalkan termasuk pelancaran Program Transformasi Kerajaan (GTP) bersama enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan 12 NKEAnya, sebagai teras kepada Model Baru Ekonomi, Rancangan Malaysia ke-10 dan Bajet 2011 – yang merupakan peta laluan komprehensif untuk mengangkat taraf dan mutu hidup lebih tinggi kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Sejak sekian lama, kerajaan yang diberi mandat telah mentadbir dan berusaha dengan ikhlas untuk memberikan yang terbaik kepada keperluan rakyat serta kemajuan negara.
“Sayangnya terdapat pihak-pihak yang menangguk di air keruh dengan sewenang-sewenangnya menuduh bahawa kerajaan hanya berminat terhadapprojek-projek tertentu terutamanya yang berbentuk mega. Sesungguhnya lemparan kata-kata itu tidak benar sama sekali,” tegasnya.
Sinis menepis kritikan beberapa pihak, khususnya pembangkang, mengenai pembinaan beberapa projek seperti pembinaan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), Menara Berkembar Petronas dan Jabatan Pulau Pinang, Najib berkata pihak sama kini tersipu-sipu malu dan terkesima untuk mengakui kesilapan mereka kerana terbukti projek-projek yang dilaksanakan kerajaan itu telah memberi manfaat kepada rakyat terbanyak.

“Persoalannya jika pendapat mereka terbukti salah dalam perkara yang sebegitu besar, bagaimanakah mungkin rakyat boleh mempercayai lagi sebarangjanji mereka?
“Apatah lagi baru-baru ini janji 100 hari mereka yang hanya akan menambahkan lagi perbelanjaan tanpa mengambil kira realiti pendapatan serta punca kewangan negara,” soal Perdana Menteri.

Berharap rakyat Malaysia mampu melihat dan menilai “yang mana kaca, yang mana permata”, Najib menegaskan bahawa kerajaan sejak dahulu telah memberi perhatian kepada matlamat untuk memastikan pertumbuhan ekonomi yang mapan.

Ini kerana katanya lonjakan kekayaan negara akan membolehkan peningkatan untuk perbelanjaan dan terlaksananya keadilan sosial.

“Ia berkadar terus, ertinya, semakin meningkat pendapatan kerajaan, maka semakin meningkat perbelanjaan untuk kesejahteraan rakyat,” katanya yang menyeru seluruh rakyat tanpa mengira bangsa dan agama untuk menyahut seruan untuk menuju ke puncak kejayaan.

Friday, July 16, 2010

Pembangunan Kg Baru

KUALA LUMPUR 6 Feb. — Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan cadangan konsep pembangunan semula Kampung Baru di sini yang antara lain akan memastikan penduduk serta pemilik tanah tidak perlu berpindah ke tempat lain.
Perdana Menteri berkata, di bawah kaedah pembangunan itu yang akan dicadangkan untuk persetujuan pemilik tanah dan penduduk, kerajaan memberi jaminan akan melaksanakan pembangunan baru itu selepas mendapat persetujuan mereka.
Menurutnya, kerajaan juga bercadang untuk mewujudkan sebuah badan khas dikelolakan oleh badan amanah kerajaan tanpa penyertaan swasta supaya penduduk Kampung Baru yakin dengan pembangunan yang dijalankan itu demi kepentingan penduduk Kampung Baru.
"Saya harap bila kita sudah buat cadangan yang mantap, penduduk di sini ada peluang teliti cadangan serta konsep yang akan digunakan.
"Saya harap selepas itu, penduduk terutama pemilik tanah di sini boleh menerima dan memberi persetujuan kepada cadangan kerajaan ini," katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan melakukan tinjauan mesra di beberapa kawasan Kampung Baru di sini.
Najib berkata, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin telah diminta menyediakan kertas Kabinet pembangunan semula itu dan beliau akan berjumpa serta berdialog dengan penduduk selepas Kabinet meluluskan kertas itu.
Najib juga memberi jaminan, penduduk kampung itu mempunyai hak melalui konsep pembangunan semula itu.
"Dengan erti kata lain, penduduk Kampung Baru ada hak untuk menentukan corak pembangunan dan kaedah pembangunan yang sesuai dengan kehendak mereka," katanya.
Najib berkata, melalui kaedah pembangunan itu, segala sekatan yang menyebabkan nilai tanah tidak tinggi boleh diatasi.
Menurutnya, nilai tanah di kawasan itu boleh melebihi RM20 bilion jika penduduk menerima konsep pembangunan itu yang dapat merealisasikan potensi Kampung Baru sepenuhnya.
Nilai tanah di Kampung Baru sekarang hanya di sekitar RM350 sekaki persegi (0.09 meter persegi) sahaja sedangkan kawasan seperti KLCC sudah melebihi RM2,000 kaki persegi.
"Maka dengan perubahan status tanah ini, pemilik tanah Kampung Baru akan menikmati lonjakan berganda dari segi nilai tanah yang bakal dimiliki oleh mereka.
"Era baru untuk Kampung Baru bermula sebaik sahaja penduduk menerima cadangan yang dikemukakan oleh kerajaan," katanya.
Mengulas lanjut mengenai badan khas itu, Perdana Menteri berkata, ia akan disertai oleh organisasi tertentu yang akan ditentukan kerajaan dengan tujuan badan yang dikhususkan itu akan bekerja sepenuh masa untuk menggerakkan pembangunan semula Kampung Baru ini.
"Kita tidak mahu Kampung Baru merupakan kawasan setinggan atau kawasan sesak... walhal kawasan sekeliling ini sudah maju dengan bangunan serba moden dan sebagainya.
"Saya ingin lihat masyarakat Kampung Baru menjadi masyarakat yang moden dan mendapat nilai yang tinggi terhadap hak milik tanah mereka. Ini hasrat kerajaan dan mudah-mudahan dengan penerimaan cadangan kerajaan ini, satu era baru akan bermula untuk pemilik, penghuni dan penduduk kawasan ini," katanya.
Penduduk-penduduk Kampung Baru yang mendengar sidang berita itu menerusi pembesar suara juga bertepuk tangan apabila Perdana Menteri mengumumkan beberapa ciri cadangan konsep pembangunan semula Kampung Baru berdasarkan konsep baru itu.
Najib juga berkata, dalam pembangunan semula itu, ciri kebudayaan Melayu dan legasi kawasan ini akan dikekalkan di mana yang sesuai, sebagai gambaran dan imej unik kawasan ini.
Menjawab soalan, Perdana Menteri membayangkan antara aspek pembangunan semula yang bakal dilaksanakan termasuk pembangunan pencakar langit, kondominium, pusat beli belah, kediaman dan peluang perniagaan terutama untuk peniaga bumiputera.
Kawasan Kampung Baru seluas 90.2 hektar itu, yang berusia kira-kira 110 tahun, kini mempunyai 35,000 penduduk yang meliputi tujuh buah kampung.
Pemilik tanah pula adalah lebih kurang 1,000 orang.
Najib juga mengumumkan peruntukan RM2 juta untuk membaik pulih dua blok flat 17 tingkat PKNS Kampung Baru selepas meninjau keadaan flat tersebut yang menurutnya dalam keadaan amat menyedihkan. - Bernama

LOMBONG PASIR

Lombong pasir: PM harap Selangor ambil tindakan

PUTRAJAYA 14 Julai - Datuk Seri Najib Tun Razak berharap kerajaan Selangor mengambil tindakan bagi mengatasi masalah melombong pasir yang tidak terkawal di negeri berkenaan kerana isu itu menimbulkan kemarahan rakyat.
Perdana Menteri berkata, kerajaan Selangor yang mempunyai bidang kuasa terhadap perkara itu, sepatutnya memantau isu tersebut dan mengambil keputusan dengan tidak membenarkan kegiatan berkenaan dijalankan kerana ia boleh menjejaskan dengan teruk keadaan muka bumi di negeri itu.
"Saya berharap kerajaan negeri (Selangor) akan mengambil tindakan untuk memulihkan keadaan ini sebab isu ini telah menimbulkan kemarahan rakyat.
"Rakyat Malaysia yang melihat (isu) ini sebagai satu kelemahan besar yang dilakukan oleh pihak kerajaan negeri (Selangor),” katanya kepada pemberita selepas majlis perhimpunan bulanan, penyampaian Anugerah Khidmat Cemerlang 2009 dan Penganugerahan Pembaharuan Pensijilan 5S Perbendaharaan Malaysia di sini hari ini. - Bernama
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Monday, March 29, 2010

Terima kasih..

Dahulu kita selalu diajar berterima kasih..namun zaman kian berubah.. kita semakin lupa akan semua itu..
KITA selalu berterima kasih kepada ibubapa kita kerana dengan adanya mereka kita dapat melihat di dunia ini.....
KITA berterima kasih kepada Cikgu yang telah mengajar kita sehingga kita pandai...
KITA juga selalu mengucapkan terima kasih pada jiran kerana sering membantu kita sekiranya kita dalam kesusahan...
KITA juga selalu berterima kasih kepada rakan yang sering mendengar masalah kita...
Tapi Sebenarnya kita lupa mengucapkan terima kasih kepada Orang yang selama ini membangungkan Malaysia...:)
Fikir2kan...:)

Salam Perkenalan Blogger

Salam Perkenalan kepada Semuga Blogger…

Alhamdulillah dengan bantuan dari rakan seperjuangan, lahirlah satu blog yang diadakan untuk memberikan pandangan dari setiap peringkat tanpa mengenal perbezaan kaum dan fahaman politik….Semoga ia mendapat ilmiah untuk kita semua….Amin