Sunday, November 24, 2013

Ekonomi negara makin kukuh

Peningkatan penarafan Malaysia daripada stabil kepada positif oleh agensi penarafan Moody’s adalah berita yang menggalakkan.

Peningkatan pandangan berkenaan dibuat bersandarkan pengukuhan fiskal dan langkah pembaharuan yang dilaksanakan serta kestabilan makroekonomi yang berterusan.
Pada Rabu lalu, firma penarafan Moody's Investors Service mengumumkan tinjauan penarafan A3 Malaysia ditingkatkan kepada positif daripada stabil.

Firma itu berkata, perubahan dalam unjuran itu dibuat bersandarkan kepada langkah pembaharuan yang dilakukan kerajaan dalam mengukuhkan kedudukan fiskal negara.

Tinjauan positif oleh Moody's itu juga dibuat hasil daripada jangkaan bahawa ekonomi Malaysia berupaya mencatatkan pertumbuhan kukuh meskipun berdepan cabaran dalam melaksanakan program penyusunan semula fiskalnya.


Tabungan domestik tinggi
Penarafan ke atas hutang Kerajaan Malaysia itu juga disokong oleh struktur kedudukan hutang yang menggalakkan, keteguhan pasaran modal tempatan serta tahap tabungan domestik yang tinggi.

Menyentuh perkembangan luar negara pula, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat telah memuktamadkan perjanjian penyelesaian dengan JP Morgan Chase sebanyak AS$13 bilion.

Ini adalah penyelesaian terbesar yang pernah dicapai di antara mana-mana syarikat dengan pihak kerajaan.

Pihak kawal selia amat serius mengenai isu berkenaan dan telah menghantar mesej bahawa tiada mana-mana pihak yang boleh mengatasi undang-undang dan pematuhannya adalah satu keutamaan.

Dalam hal berasingan, baru-baru ini Utusan Melayu (Malaysia) Bhd bercadang melaksanakan terbitan hak bagi menjana modal sehingga RM40 juta untuk mengukuhkan kedudukan kewangannya.


Laksana MGO

Sehingga tarikh pengumuman langkah itu, pemegang saham majoriti memegang 49.8 peratus saham syarikat.

Jika terbitan hak berkenaan tidak dilanggan sepenuhnya oleh pemegang saham yang lain, ia boleh mengakibatkan pemegang saham utama memiliki lebih kurang 67.2 peratus pegangan di dalam syarikat.

Dalam situasi itu, ia perlu melaksanakan tawaran am mandatori (MGO) bagi baki saham yang belum dimiliki.

Oleh kerana pemegang saham utama tidak berhasrat untuk melaksanakan MGO, pengecualian perlu dipohon daripada Suruhanjaya Sekuriti (SC) yang mana peruntukan perundangan dalam beberapa kes tertentu membenarkan pengawal selia pasaran modal itu memberi pengecualian berkenaan.

Ia juga tertakluk kepada kelulusan daripada pemegang saham lain yang tidak berkepentingan dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM).

Perkara ini sudah dibawa ke perhatian kami bahawa terdapat pihak yang tertanya-tanya sama ada layanan khas diberi untuk pengecualian itu.

Dalam konteks ini pada pandangan kami, pengecualian SC bukanlah sesuatu yang luar biasa dan pernah diberikan sebelum ini dalam beberapa kes tertentu.

Oleh yang demikian, SC perlu meneliti kes ini dan bergantung kepada budi bicara pihak berkuasa sama ada membenarkan pengecualian terbabit.
Petikkan dari Berita Harian.

1 comment:

  1. Dengan usaha kerajaan yang dilihat bersungguh dalam memajukan negara. Semoga dengan usaha kerajaan selama ini dapat meningkatkan ekonomi negara pada masa akan datang.

    ReplyDelete