Gula merupakan diet yang boleh memudaratkan kesihatan kita. Tanpa disedari,
banyak orang suka makan makanan atau minuman yang tersangatlah manis. gula
merupakan glukosa yang boleh menambah kalori dan akan disimpan sebagai lemak di
dalam tubuh sehingga menyebabkan obesiti dan penyakit diabetes. Jika kita
sentiasa mengambil makanan yang manis, kita mempunyai berpeluang besar untuk menghidap
penyakit diabetes atau lebih dikenali sebagai kencing manis. untuk masa kini tiada ubat yang dapat merawat penyakit diabetes hingga pulih sepenuhnya.
Pesakit diabetes di negara kita pun telah meningkat secara drastik dan mendadak,
iaitu ada sebanyak 3 juta orang rakyat Malaysia telah dikenal pasti sebagai
pesakit diabetes. Lebih-lebih lagi pesakit diabetes semakin muda. Hal ini
memang membimbangkan. Senario ini bersangkut paut dengan penduduk Malaysia yang
suka makan kuih-muih, juadah, makanan ringan dan minuman ringan yang manis.
Pesakit diabetes yang kronik akan mengalami keratan anggota badan, terutamanya
kaki, kerosakan buah pinggang dan kerosakan penglihatan malah mengalami maut.
Ternyata gula bagai racun yang dapat menjejaskan kesihatan secara anjakan.
Ada kalanya kanak-kanak yang nakal sering dimarahi atau dipukul oleh ibu bapa mereka. Adakah ibu bapa atau guru pernah mengkaji tentang penyebab budak itu nakal dan tidak dapat menumpukan perhatian atau memasang telinga di dalam kelas? Adakah anda pernah terlintas dalam otak anda bahawa kenakalan seseorang budak ada kaitan dengan pengambilan gula secara berlebihan? Menurut pakar perubatan, pengambilan gula secara berlebihan boleh menjejaskan pertumbuhan otak seseorang kanak-kanak. Hal ini akan mengganggu saraf mereka sehingga menjejaskan keseimbangan hormon. Setelah dikaji oleh ahli sains, pengambilan gula secara berlebihan akan menyebabkan kanak-kanak menjadi hiperaktif, gelisah dan nakal. Kanak-kanak berkenaan juga akan rasa mengantuk , kurang cergas bahkan menjejaskan pencapaian pelajaran mereka. Malangnya budak yang sedemikian selalu digelari sebagai budak yang “nakal”. Oleh itu, ibu bapa harus memastikan bahawa mereka tidak lagi menggunakan gula-gula dan aiskrim yang manis untuk memujuk anak kecil yang menangis sehingga mereka ketagihan gula.
Dalam konteks ini, kerajaan terpaksa menanggung beban yang tinggi akibat
daripada rakyat kita yang suka mengambil makanan dan minuman yang manis. Saban
tahun, kerajaan kita terpaksa memperuntukkan 1 bilion ringgit untuk memberikan
subsidi dalam gula, iaitu kira-kira 1.2 juta tan metrik gula. Selain itu, negara
kita terpaksa mengimport berbilion-bilion ringgit gula dari negara lain. Walhal
wang tersebut boleh digunakan untuk pelbagai pembangunan, terutamanya membasmi
kemiskinan di luar bandar. Bukan itu sahaja, Kementerian Kesihatan terpaksa
memperuntukkan berjuta-juta hingga berbilion-bilion ringgit dalam perubatan,
khususnya penyakit diabetes. Ubat prioriti tentang penyakit diabetes adalah
insulin dan kos perubatannya adalah sangat tinggi. Akibat pengambilan gula yang
terlalu banyak telah menjejaskan defisit ekonomi negara. Hal ini adalah tidak
berbaloi.
Seperti peribahasa, “mencegah lebih baik daripada mengubati”, kita perlu
mengambil tindakan segera sebelum nasi menjadi bubur. Untuk menangani masalah
tersebut semakin kritikal, kerajaan kita perlu mengadakan kempen secara
besar-besaran di seluruh negara untuk mencelikkan minda rakyat kita agar
mengurangkan pengambilan gula. Masyarakat kita perlu dimaklumkan tentang risiko
pengambilan gula secara berlebihan. Media massa sebagai medium yang paling
signifikan untuk menyalurkan pengetahuan tentang keburukan mengambil gula.
Melalui ceramah, iklan, dokumentari, dan rencana, rakyat kita dapat disedarkan
supaya meminimumkan pengambilan gula. Rakyat kita bukan sahaja perlu mengelakkan
makanan atau minuman ringan yang manis tetapi juga perlu mengurangkan gula
dalam masakan mereka. Oleh itu, kempen kesedaran yang berkala sangat penting
untuk memperingatkan masyarakat kita supaya mengurangkan pengambil gula.
Selain itu, salah satu prakarsa yang dominan untuk membendung rakyat kita
mengambil gula secara berlebihan adalah memansuhkan subsidi terhadap harga gula
di pasaran tempatan. Kerajaan harus berani menghadapi tekanan politik dengan
membuat tindakan yang drastik demi kebaikan rakyat dan negara dalam jangka masa
panjang. Setelah memansuhkan subsidi, harga gula akan mengikut pasaran dunia.
Harga gula pasti akan menjulang sehingga orang ramai berasa beban untuk
menggunakan gula. Secara spontan, rakyat kita pasti akan mengurangkan penggunaan
gula dalam rutin hidup mereka. Kerajaan juga hendak melarang produk susu pekat
dan melarang semua kantin sekolah menjual minuman ringan kepada pelajar.
Syarikat makanan dan minuman harus diberikan piawaian supaya mengurangkan
glukosa dalam kandungan produk mereka. Rakyat Malaysia tidak boleh lagi
dimanjakan sehingga mengambil gula secara berlebihan tanpa disedari gara-gara
diberikan subsidi.
Secara intihanya, kerajaan perlu bertindak secara bijaksana untuk menangani
masalah ini, seperti peribahasa,”menarik rambut dalam tepung”. Jika rakyat kita
masih dibiarkan dengan mengambil gula secara berlebihan, kesihatan rakyat
Malaysia akan terjejas sehingga mengganggu perkembangan sosioekonomi Malaysia.
Rakyat Malaysia perlu mentransformasikan mentaliti dan gaya hidup mereka. Kita
perlu mengaplikasikan umpama memeras nyiur, santan diambil hampas dibuang, iaitu
mengamalkan tabiat yang positif dan menjauhi amalan yang negatif. Insya-Allah,
rakyat sihat negara maju.
Wednesday, November 6, 2013
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment