Sunday, November 24, 2013

Ekonomi negara makin kukuh

Peningkatan penarafan Malaysia daripada stabil kepada positif oleh agensi penarafan Moody’s adalah berita yang menggalakkan.

Peningkatan pandangan berkenaan dibuat bersandarkan pengukuhan fiskal dan langkah pembaharuan yang dilaksanakan serta kestabilan makroekonomi yang berterusan.
Pada Rabu lalu, firma penarafan Moody's Investors Service mengumumkan tinjauan penarafan A3 Malaysia ditingkatkan kepada positif daripada stabil.

Firma itu berkata, perubahan dalam unjuran itu dibuat bersandarkan kepada langkah pembaharuan yang dilakukan kerajaan dalam mengukuhkan kedudukan fiskal negara.

Tinjauan positif oleh Moody's itu juga dibuat hasil daripada jangkaan bahawa ekonomi Malaysia berupaya mencatatkan pertumbuhan kukuh meskipun berdepan cabaran dalam melaksanakan program penyusunan semula fiskalnya.


Tabungan domestik tinggi
Penarafan ke atas hutang Kerajaan Malaysia itu juga disokong oleh struktur kedudukan hutang yang menggalakkan, keteguhan pasaran modal tempatan serta tahap tabungan domestik yang tinggi.

Menyentuh perkembangan luar negara pula, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat telah memuktamadkan perjanjian penyelesaian dengan JP Morgan Chase sebanyak AS$13 bilion.

Ini adalah penyelesaian terbesar yang pernah dicapai di antara mana-mana syarikat dengan pihak kerajaan.

Pihak kawal selia amat serius mengenai isu berkenaan dan telah menghantar mesej bahawa tiada mana-mana pihak yang boleh mengatasi undang-undang dan pematuhannya adalah satu keutamaan.

Dalam hal berasingan, baru-baru ini Utusan Melayu (Malaysia) Bhd bercadang melaksanakan terbitan hak bagi menjana modal sehingga RM40 juta untuk mengukuhkan kedudukan kewangannya.


Laksana MGO

Sehingga tarikh pengumuman langkah itu, pemegang saham majoriti memegang 49.8 peratus saham syarikat.

Jika terbitan hak berkenaan tidak dilanggan sepenuhnya oleh pemegang saham yang lain, ia boleh mengakibatkan pemegang saham utama memiliki lebih kurang 67.2 peratus pegangan di dalam syarikat.

Dalam situasi itu, ia perlu melaksanakan tawaran am mandatori (MGO) bagi baki saham yang belum dimiliki.

Oleh kerana pemegang saham utama tidak berhasrat untuk melaksanakan MGO, pengecualian perlu dipohon daripada Suruhanjaya Sekuriti (SC) yang mana peruntukan perundangan dalam beberapa kes tertentu membenarkan pengawal selia pasaran modal itu memberi pengecualian berkenaan.

Ia juga tertakluk kepada kelulusan daripada pemegang saham lain yang tidak berkepentingan dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM).

Perkara ini sudah dibawa ke perhatian kami bahawa terdapat pihak yang tertanya-tanya sama ada layanan khas diberi untuk pengecualian itu.

Dalam konteks ini pada pandangan kami, pengecualian SC bukanlah sesuatu yang luar biasa dan pernah diberikan sebelum ini dalam beberapa kes tertentu.

Oleh yang demikian, SC perlu meneliti kes ini dan bergantung kepada budi bicara pihak berkuasa sama ada membenarkan pengecualian terbabit.
Petikkan dari Berita Harian.

Lama atau baharu, bukan faktor utama kemalangan

LEGA. Itulah kesimpulan yang dapat dibuat apabila Timbalan Menteri Pengangkutan, Abdul Aziz Kaprawi menjelaskan kerajaan tidak bercadang menetapkan tempoh usia kenderaan bagi tujuan pelupusan. Sejak ‘penemuan’ kajian bahawa kenderaan terutama yang berusia melebihi 12 tahun tidak selamat berada di jalan raya, ramai pengguna yang gelisah. Walaupun keputusan muktamad belum dibuat ketika itu, tetapi cakap-cakap yang kedengaran ialah kerajaan akan melaksanakan cadangan tersebut, maknanya kenderaan berusia 12 tahun akan dihapuskan. Maka banyaklah komentar yang didengar. Tidak kurang juga yang menuding jari terhadap kerajaan yang diterajui Barisan Nasional (BN). Pihak ini yang sentiasa mencari ‘kesalahan’ walaupun tujuan pelaksanaan cadangan itu untuk kebaikan akan mengambil kesempatan untuk memburukkan kerajaan.

Menyelak kembali bagaimana isu mengehadkan usia kenderaan ini timbul, ia adalah hasil kenyataan Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Prof. Dr. Wong Shaw Voon. Ketika itu di Melaka, pada 15 November lalu, beliau menyatakan bahawa kenderaan terutama yang berusia melebihi 12 tahun tidak selamat berada di jalan raya kerana ia mengundang risiko kematian lebih tinggi semasa kemalangan berbanding kereta baharu. Kenyataan itu seharusnya diteliti dengan baik supaya tidak ada pihak yang melatah dan membuat andaian tidak tepat berhubung kenyataan berkenaan.

Rujuk kembali beberapa fakta berkaitan kenyataannya iaitu:

* Kenderaan berusia terdedah dengan pelbagai kerosakan yang mungkin tidak disedari pemandu dan mengurangkan daya serapan tenaga pelanggaran ketika berlaku kemalangan.

* Kebanyakan kereta direka bentuk untuk jangka hayat antara lima hingga 12 tahun. Bagaimanapun jangka hayat kenderaan turut dipengaruhi beberapa faktor seperti reka bentuk, cara pemanduan dan penyelenggaraan.

* Kenderaan seperti teksi mempunyai jangka hayat selamat yang lebih pendek iaitu lima tahun disebabkan penggunaannya melebihi 12 jam sehari berbanding kereta lain.

* Kereta lama mempunyai daya menyerap tenaga perlanggaran lebih rendah berbanding kereta baharu dan daya tersebut kemudian dipindahkan kepada penumpang sehingga menyebabkan kecederaan teruk yang boleh mengundang risiko kematian.

* Kenderaan baharu dilengkapi teknologi terkini melibatkan reka bentuk kereta terutama untuk menyerap tenaga perlanggaran bagi mengurangkan risiko kematian akibat kemalangan.

Berdasarkan kenyataan itu, usia kereta bukan faktor utama sebaliknya turut melibatkan cara pemanduan serta penyelenggaraan yang betul bagi mengurangkan risiko kematian akibat kemalangan. Di jalan raya atau di lebuh raya, kenderaan yang bagaimana memecut laju? Mungkin disebabkan kelajuan ini, kereta itu terbabas dan melibatkan kereta lama yang sudah berusia. Dalam hal ini, siapakah yang bersalah? Adakah kereta yang sudah lanjut usia atau pemandu kereta baharu yang memecut laju sehingga terbabas? Di sinilah cara pemanduan menjadi faktor penyebab kemalangan.

Begitu juga dengan penyelenggaraan. Adakah setiap kenderaan yang berada di atas jalan menjalani ujian berkala sekurang-kurangnya setahun sekali? Jika ada di mana ia dilakukan? Lihatlah di jalan raya termasuk lebuh raya, adakah tidak ada langsung kereta baharu yang tersadai di tepi jalan? Berkaitan penyelenggaraan, cuba selak apa yang dilakukan terhadap teksi di negara ini. Begitu juga pengangkutan awam lain.

Teksi yang dikatakan jangka hayat hanya lima tahun tetapi boleh bergerak di atas jalan sehingga 10 tahun. Pernah sebelum ini, ia hanya layak untuk lima tahun tetapi kemudiannya boleh dijadikan kenderaan biasa. Jangka hayat itu kemudiannya ditingkatkan kepada tujuh tahun dan selepas itu boleh ditukar kepada kenderaan biasa. Seterusnya kini 10 tahun. Istimewanya teksi ini ialah, setiap kenderaan perlu memasuki pemeriksaan kenderaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) setiap enam bulan. Di situ pelbagai aspek fizikal kenderaan diperiksa termasuk keadaan tayar dan brek. Setiap kali pemeriksaan, pemandu dikenakan bayaran sebanyak RM55 dan jika gagal, kehadiran kali kedua dikenakan RM25. Bagi memastikan tidak menanggung kos berikutnya, maka setiap pemilik teksi perlu memastikan kenderaan mereka benar-benar dalam keadaan terbaik termasuk kebersihan. Semua ini memerlukan kos yang tinggi supaya ujian pertama di Puspakom tidak gagal. Gagal bermakna mereka akan hilang mata pencarian untuk beberapa hari. Dalam hal ini, bantuan Tayar 1Malaysia (TR1Ma) dapat meringankan beban pemandu teksi. Persoalannya kenapa mereka ini tidak dilayan seperti 1,000 pemilik Teksi 1Malaysia (Teks1M) yang dikecualikan membayar kos pemeriksaan?

Mengikut pengalaman kebanyakan pemandu teksi, mereka akan berhadapan dengan masalah disebabkan kualiti kenderaan yang dijadikan teksi. Ada sahaja masalah melibatkan teksi yang sepatutnya lasak bagi menampung jumlah penumpang dan jarak perjalanan setiap hari. Banyak kos yang dikeluarkan terutama semasa mahu memasuki Puspakom. Tidak hairanlah ada pemandu yang terpaksa meminjam tayar rakan-rakan lain semasa menjalani pemeriksaan. Begitulah ketegasan pihak berkuasa melakukan pemeriksaan terhadap teksi. Kenapa teksi atau pengangkutan awam lain sahaja yang perlu menjalani pemeriksaan ini? Adakah nyawa pemandu dan penumpang kenderaan lain tidak ada nilainya?

Kembali kepada jangka hayat kenderaan. Bayangkan jika had 12 tahun dilaksanakan. Berapa banyak pemilik kenderaan akan mengeluh. Sudah tentu ramai (kebanyakan golongan berpendapatan rendah) yang mempunyai kereta yang sudah berusia 12 tahun atau menghampiri usia itu. Golongan ini, membeli kenderaan melalui pinjaman bank dengan bayaran ansuran selama sembilan tahun. Pihak bank akan memberi apa sahaja alasan untuk mendorong pembeli memilih bayaran balik selama sembilan tahun. Ini bermakna selepas dapat bernafas sedikit setelah melangsaikan hutang selama 108 bulan, pemilik kenderaan hanya mempunyai tempoh empat tahun lagi sebelum kereta itu dilupuskan. Mahu dijual mungkin murah. Masuk akhir tahun 12, pengguna akan mula memikirkan untuk memulakan hutang baru bagi membeli kenderaan. Begitulah seterusnya. Semuanya ini pasti akan memberi kesan kepada kos kehidupan rakyat terutama golongan berpendapatan rendah.

Adakah langkah ini juga bertujuan mengurangkan jumlah kenderaan di atas jalan raya terutama di kawasan bandar?

Seperkara lagi, sejauh mana usaha yang dilakukan untuk mengurangkan kemalangan di jalan raya? Beberapa langkah yang diambil sebelum ini nampaknya kurang mendapat perhatian banyak pihak malahan ada yang membuat bantahan. Memang agak sukar untuk memperkenalkan sesuatu demi kebaikan bersama. Ada sahaja alasan dan asakan yang ditimbulkan sehingga pihak berkuasa yang melaksanakan undang-undang berada dalam keadaan serba salah. Begitulah apabila pihak berkuasa perlu akur mendengar isi hati rakyat

Petikan dari Utusan Malaysia.

Wednesday, November 6, 2013

Kerajaan sedia subsidi rakyat beli rumah mampu milik

KUALA LUMPUR 8 Okt. - Kerajaan akan menyediakan subsidi antara RM15,000 dan RM20,000 bagi membolehkan rakyat membeli rumah mampu milik, kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.
Beliau berkata, Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) akan membina tiga jenis rumah mampu milik dengan tiga bilik tidur berharga RM65,000, RM55,000 dan RM45,000.
"Bagi rumah berharga RM65,000, kerajaan akan memberikan subsidi RM20,000.
Bagi kediaman berharga RM45,000, subsidi yang disediakan sebanyak RM15,000," katanya kepada pemberita ketika ditemui di luar acara Simposium Zakat Perniagaan Nasional 2013 di sini.
Beliau juga berkata, Belanjawan 2014 yang akan dibentangkan di Parlimen 25 Okt ini merupakan bajet ’mesra rakyat’ yang memberi tumpuan ke atas kediaman mampu milik dan pembangunan infrastruktur.
Ahmad Husni berkata, kerajaan juga mahukan SPNB menjadi pemaju rumah mampu milik berskala besar untuk rakyat, membina banglo dengan harga jualan kira-kira RM250,000, selain rumah berkembar dua dan rumah teres, masing-masing berharga RM100,000 dan RM80,000.
"Kerajaan juga akan menekankan pembangunan infrastruktur dalam bajet akan datang, terutama di kawasan yang kurang mendapat akses bekalan elektrik, air dan jalan," katanya.
Dalam ucaptamanya, Ahmad Husni berkata, simposium itu menunjukkan inisiatif yang semakin meningkat dalam usaha menyelaraskan amalan perniagaan moden yang berlandaskan prinsip Islam.
"Kerajaan membuat beberapa peruntukan untuk zakat individu, termasuk perakuan ke atas keseluruhan jumlah yang dibayar sebagai rebat cukai.
"Bagi zakat perniagaan, kerajaan mencadangkan zakat ke atas pendapatan perniagaan yang dibayar oleh syarikat, boleh ditolak cukai dalam pengiraan cukai pendapatan korporat, tidak melebihi 2.5 peratus daripada pendapatan agregat," katanya.
Simposium sehari itu dianjurkan oleh Institut Akauntan Malaysia dan Universiti Tenaga Nasional. Ia bermatlamat meningkatkan standard piawaian perakaunan dan amalan pelaporan untuk semua pemegang kepentingan dalam ekosistem zakat. - BERNAMA

Kurangkan Gula untuk kesihatan yang lebih sihat

Gula merupakan diet yang boleh memudaratkan kesihatan kita. Tanpa disedari, banyak orang suka makan makanan atau minuman yang tersangatlah manis. gula merupakan glukosa yang boleh menambah kalori dan akan disimpan sebagai lemak di dalam tubuh sehingga menyebabkan obesiti dan penyakit diabetes. Jika kita sentiasa mengambil makanan yang manis, kita mempunyai berpeluang besar untuk menghidap penyakit diabetes atau lebih dikenali sebagai kencing manis.  untuk masa kini tiada ubat yang dapat merawat penyakit diabetes hingga pulih sepenuhnya. Pesakit diabetes di negara kita pun telah meningkat secara drastik dan mendadak, iaitu ada sebanyak 3 juta orang rakyat Malaysia telah dikenal pasti sebagai pesakit diabetes. Lebih-lebih lagi pesakit diabetes semakin muda. Hal ini memang membimbangkan. Senario ini bersangkut paut dengan penduduk Malaysia yang suka makan kuih-muih, juadah, makanan ringan dan minuman ringan yang manis. Pesakit diabetes yang kronik akan mengalami keratan anggota badan, terutamanya kaki, kerosakan buah pinggang dan kerosakan penglihatan malah mengalami maut. Ternyata gula bagai racun yang dapat menjejaskan kesihatan secara anjakan. Ada kalanya kanak-kanak yang nakal sering dimarahi atau dipukul oleh ibu bapa mereka. Adakah ibu bapa atau guru pernah mengkaji tentang penyebab budak itu nakal dan tidak dapat menumpukan perhatian atau memasang telinga di dalam kelas? Adakah anda pernah terlintas dalam otak anda bahawa kenakalan seseorang budak ada kaitan dengan pengambilan gula secara berlebihan? Menurut pakar perubatan, pengambilan gula secara berlebihan boleh menjejaskan pertumbuhan otak seseorang kanak-kanak. Hal ini akan mengganggu saraf mereka sehingga menjejaskan keseimbangan hormon. Setelah dikaji oleh ahli sains, pengambilan gula secara berlebihan akan menyebabkan kanak-kanak menjadi hiperaktif, gelisah dan nakal. Kanak-kanak berkenaan juga akan rasa mengantuk , kurang cergas bahkan menjejaskan pencapaian pelajaran mereka. Malangnya budak yang sedemikian selalu digelari sebagai budak yang “nakal”. Oleh itu, ibu bapa harus memastikan bahawa mereka tidak lagi menggunakan gula-gula dan aiskrim yang manis untuk memujuk anak kecil yang menangis sehingga mereka ketagihan gula.
Dalam konteks ini, kerajaan terpaksa menanggung beban yang tinggi akibat daripada rakyat kita yang suka mengambil makanan dan minuman yang manis. Saban tahun, kerajaan kita terpaksa memperuntukkan 1 bilion ringgit untuk memberikan subsidi dalam gula, iaitu kira-kira 1.2 juta tan metrik gula. Selain itu, negara kita terpaksa mengimport berbilion-bilion ringgit gula dari negara lain. Walhal wang tersebut boleh digunakan untuk pelbagai pembangunan, terutamanya membasmi kemiskinan di luar bandar. Bukan itu sahaja, Kementerian Kesihatan terpaksa memperuntukkan berjuta-juta hingga berbilion-bilion ringgit dalam perubatan, khususnya penyakit diabetes. Ubat prioriti tentang penyakit diabetes adalah insulin dan kos perubatannya adalah sangat tinggi. Akibat pengambilan gula yang terlalu banyak telah menjejaskan defisit ekonomi negara. Hal ini adalah tidak berbaloi.
Seperti peribahasa, “mencegah lebih baik daripada mengubati”, kita perlu mengambil tindakan segera sebelum nasi menjadi bubur. Untuk menangani masalah tersebut semakin kritikal, kerajaan kita perlu mengadakan kempen secara besar-besaran di seluruh negara untuk mencelikkan minda rakyat kita agar mengurangkan pengambilan gula. Masyarakat kita perlu dimaklumkan tentang risiko pengambilan gula secara berlebihan. Media massa sebagai medium yang paling signifikan untuk menyalurkan pengetahuan tentang keburukan mengambil gula. Melalui ceramah, iklan, dokumentari, dan rencana, rakyat kita dapat disedarkan supaya meminimumkan pengambilan gula. Rakyat kita bukan sahaja perlu mengelakkan makanan atau minuman ringan yang manis tetapi juga perlu mengurangkan gula dalam masakan mereka. Oleh itu, kempen kesedaran yang berkala sangat penting untuk memperingatkan masyarakat kita supaya mengurangkan pengambil gula.
Selain itu, salah satu prakarsa yang dominan untuk membendung rakyat kita mengambil gula secara berlebihan adalah memansuhkan subsidi terhadap harga gula di pasaran tempatan. Kerajaan harus berani menghadapi tekanan politik dengan membuat tindakan yang drastik demi kebaikan rakyat dan negara dalam jangka masa panjang. Setelah memansuhkan subsidi, harga gula akan mengikut pasaran dunia. Harga gula pasti akan menjulang sehingga orang ramai berasa beban untuk menggunakan gula. Secara spontan, rakyat kita pasti akan mengurangkan penggunaan gula dalam rutin hidup mereka. Kerajaan juga hendak melarang produk susu pekat dan melarang semua kantin sekolah menjual minuman ringan kepada pelajar. Syarikat makanan dan minuman harus diberikan piawaian supaya mengurangkan glukosa dalam kandungan produk mereka. Rakyat Malaysia tidak boleh lagi dimanjakan sehingga mengambil gula secara berlebihan tanpa disedari gara-gara diberikan subsidi.
Secara intihanya, kerajaan perlu bertindak secara bijaksana untuk menangani masalah ini, seperti peribahasa,”menarik rambut dalam tepung”. Jika rakyat kita masih dibiarkan dengan mengambil gula secara berlebihan, kesihatan rakyat Malaysia akan terjejas sehingga mengganggu perkembangan sosioekonomi Malaysia. Rakyat Malaysia perlu mentransformasikan mentaliti dan gaya hidup mereka. Kita perlu mengaplikasikan umpama memeras nyiur, santan diambil hampas dibuang, iaitu mengamalkan tabiat yang positif dan menjauhi amalan yang negatif. Insya-Allah, rakyat sihat negara maju.

Thursday, October 31, 2013

Isu Harga Rumah Akan Dibentangkan Pada Bajet 2014


PUTRAJAYA – Isu penurunan dan pengawalan harga rumah dijangka menjadi sebahagian intipati Belanjawan 2014 yang akan dibentangkan pada Oktober depan.Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata kementeriannya telah diminta mendapatkan cadangan dan idea daripada pihak industri perumahan melalui penganjuran makmal berhubung isu tersebut. “Mereka yang terlibat dalam makmal tersebut terdiri daripada pihak industri seperti pemaju, persatuan pembeli rumah dan pihak berkepentingan lain,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Inisiatif Menurunkan Harga Rumah di sini hari ini.
Beliu berkata apa yang dicadangkan nanti lebih kepada dasar, daripada segi fiskal dan polisi contohnya Cukai Keuntungan Hartanah Sebenar (RPGT), setem duti dan sebagainya.
Abdul Rahman berkata makmal itu juga membincangkan mengenai jalan terbaik untuk menangani isu kenaikan harga rumah yang mendadak sejak lima tahun kebelakangan ini.
“Penganjuran makmal berkenaan juga turut disokong Perdana Menteri memandangkan isu perumahan sentiasa menjadi agenda utama kerajaan,” katanya.
Kementerian juga katanya telah mewujudkan sebuah jawatankuasa pemantauan terhadap janji kerajaan untuk mewujudkan satu juta unit rumah mampu milik dalam masa lima tahun akan datang.
“Kita telah diarahkan untuk memantau projek di bawah Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), PR1MA, Unit Kerjasama Awam-Swasta (UKAS), dan agensi kerajaan negeri supaya objektif tersebut dapat dicapai dan mesyuarat pertama berhubung perkara itu telah diadakan pada dua bulan lepas,” katanya. – BERNAMA

BAGET 2014

Ringkasan intipati kandungan bajet 2014 belanjawan

Ringkasan intipati kandungan Bajet 2014 belanjawan Malaysia
Secara keseluruhannya Bajet 2014 menyaksikan peningkatan kira-kira RM31 billion berbanding bajet tahun lalu iaitu sebanyak RM232.8 bilion dengan RM201.9 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan RM49.7 bilion bagi perbelanjaan pembangunan
 
Ia bertemakan “Memperteguh Ketahanan Ekonomi, Memperkasa Transformasi dan Melaksana Janji”, Bajet 2014 merupakan bajet pertama selepas kerajaan Barisan Nasional (BN) sekali lagi diberi mandat dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu
Bajet 2014 yang menggariskan lima teras utama itu juga merupakan bajet kelima yang direncana Najib selaku Menteri Kewangan sejak 2009
Klik pautan (link) http://www1.treasury.gov.my/data/ucapan/ub14.pdf untuk membaca atau muat turun (download) teks penuh ucapan bajet tahun 2014 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
Intipati Bajet 2014 Ringkasan Dan Rumusan
Kadar BR1M Dinaikkan
  • Pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah akan dinaikkan daripada RM500 kepada RM650
  • Individu bujang berumur 21 tahun dan ke atas yang berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan, nilai bantuan akan dinaikkan daripada RM250 kepada RM300
  • BR1M 3.0 diperluaskan kepada isi rumah yang berpendapatan bulanan antara RM3,000 hingga RM4,000 dengan nilai bantuan sebanyak RM450
Subsidi Gula Dimansuhkan
  • Subsidi gula sebanyak 34 sen akan dimansuhkan mulai 26 Oktober 2013. Ini bertujuan sebagai langkah kerajaan untuk mengurangkan masalah kesihatan terutamanya diabetes dan kencing manis
  • Harga gula akan naik RM2.84 sen sekilogram mulai 26 Oktober 2013
Saya menyeru agar kita bersama-sama jaga kesihatan, kurangkan manis dalam makanan dan minuman. Tambahkan manis dalam senyuman, kata Najib
Kakitangan Awam Terima Bonus Setengah Bulan Gaji, Minimum RM500,persara RM250
  • Kerajaan mengumumkan bonus setengah bulan gaji, minimum RM500
  • Pesara, kerajaan juga akan memberi Bayaran Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM250
    Akan dibayar pada awal Januari 2014
Bantuan Persekolahan RM100 Diteruskan
  • Bantuan persekolahan RM100 kepada pelajar sekolah rendah dan menengah tetap diteruskan
Kadar Baucar Buku Diteruskan
  • Baucar Buku RM 250 bagi setiap pelajar pra – universiti dan Institut Pengajian Tinggi di Malaysia diteruskan
 
Kelajuan Internet Dinaik Taraf
  • Kerajaan akan melaksana fasa kedua projek Jalur Lebar Kelajuan Tinggi (HSBB) dengan usaha sama sektor swasta melibatkan pelaburan RM1.8 bilion bagi meluaskan liputan ke bandar-bandar utama. Kelajuan Internet akan ditambah kepada 10 Mbp
  • Rangkaian HSBB akan diperluas ke kawasan pinggir bandar pada kos RM1.6 bilion, dengan capaian Internet ditambah kepada antara empat dan 10 Mb
Program Perumahan Rakyat
  • 223,000 unit rumah pada harga berpatutan
  • Rumah harga berpatutan akan dibina menerusi Program Perumahan Rakyat (PPR) dengan peruntukan berjumlah RM578 juta. PPR ialah program kerajaan untuk penempatan semula setinggan dan memenuhi keperluan tempat kediaman bagi golongan berpendapatan rendah. Rumah-rumah PPR dijual pada paras harga antara RM30,000 dan RM35,000 seunit di Semenanjung Malaysia dan RM40,500 seunit untuk Sabah serta Sarawak
  • 80,000 unit rumah akan dibina menerusi program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dengan peruntukan RM1 bilion dan setiap unit rumah dijual 20 peratus lebih rendah daripada harga pasaran
Kadar GST lebih rendah
  • Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) akan dilaksanakan mulai 1 April 2015 pada kadar enam peratus, lebih rendah daripada kadar cukai-cukai sedia ada
Bantuan yuran taska RM250 sebulan
  • Ibu bapa berpendapatan bulanan tidak melebihi RM900 yang menghantar anak-anak ke taska swasta yang berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menerima bantuan yuran taska sebanyak RM250 sebulan
Penbangunan Sukan RM239 juta
  • Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM239 juta dalam Bajet 2014 bagi meneruskan kecemerlangan sukan yang merangkumi menaik taraf kompleks dan gelanggang sukan di negara ini
Program Pertanian
  • Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM6 bilion untuk pelaksanaan program pertanian yang mempunyai nilai tambah tinggi dan berdaya komersil