Tuesday, December 13, 2011

Belia modal insan berkualiti jamin masa depan negara

MAJU atau mundur sesebuah negara pada masa depan banyak bergantung kepada pembangunan golongan belia. Sebab itulah, belia hari ini menjadi aset penting kepada negara kerana merekalah bakal menerajui tampuk kepemimpinan masa depan. Pepatah ada mengatakan bahawa belia adalah pewaris negara amat bertepatan kerana mereka akan mewarisi tampuk pemerintahan negara apabila tiba masanya. Di tangan merekalah negara dicorakkan, termasuk melakukan perubahan dikehendaki. Bagi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak belia dianggap sebagai ‘superhero’ kerana mereka sememangnya golongan yang mempunyai kuasa melakukan perubahan berkenaan. Program transformasi yang dilaksanakan kerajaan tentunya bergantung kepada keupayaan belia untuk meneruskannya dengan lebih sempurna andainya tenaga dan fikiran orang muda ini dijana bersama dengan kerajaan. Kita memahami pendirian Perdana Menteri apabila beliau menegaskan bahawa kerajaan sentiasa terbuka untuk mendengar pandangan dan idea orang muda bagi membangunkan negara. Generasi yang ada sekarang akan melalui zaman mereka dan apabila tiba masanya, kepemimpinan negara akan diambil alih golongan ini dan pembangunan negara perlu diteruskan, ibarat menyerahkan baton kepada generasi akan datang. Apabila menerima baton ini, adalah menjadi tanggungjawab mereka pula untuk membawanya lebih jauh agar negara dapat mencapai tahap kemajuan lebih tinggi. Oleh itu, tidak ada salahnya sekiranya sebagai pewaris negara, mereka turut berfikiran kritikal dan memberi pandangan positif kerana ia adalah kunci kejayaan negara. Sebab itulah kerajaan pimpinan UMNO sebagai parti teras dalam Barisan Nasional sentiasa memberi fokus kepada generasi muda agar bersama kerajaan dalam membangunkan negara.
Belia pula harus membuktikan berkemampuan menyahut cabaran kerajaan untuk tampil dengan semangat tinggi sebagai generasi pelapis bagi memikul tanggungjawab terhadap negara, bangsa dan agama pada masa depan. Seperti kata Perdana Menteri, kekuatan sesebuah kerajaan bukannya kerana faktor ketenteraan tetapi minda dan ilham yang dapat dijadikan kenyataan demi manfaat rakyat. Belia hari ini harus bersedia dan dipersiapkan dengan ciri-ciri hebat untuk muncul sebagai modal insan berkualiti tinggi, bertanggungjawab dan mempunyai jati diri supaya boleh diharapkan untuk memimpin negara dan mensejahterakan rakyat. Mereka tidak boleh terjebak dengan gejala rasuah, jenayah, penagihan dadah, seks bebas dan masalah sosial yang merosakkan akhlak. Sebagai pewaris kepemimpinan negara, belia juga harus berwaspada agar tidak terpengaruh dengan dakyah pembangkang yang sentiasa berusaha menggagalkan setiap dasar kerajaan kerana ia boleh menghancurkan masa depan negara.
*petikan dari minda pengarang berita harian

No comments:

Post a Comment