Tuesday, December 13, 2011

KITA DILANDASAN YANG BETUL

Hakikatnya, Malaysia adalah negara yang berjaya. Dalam tempoh yang singkat, kita telah merubah wajah Malaysia dari sebuah negara pertanian berpendapatan rendah menjadi negara perindustrian moden berpendapatan sederhana tinggi. Kita kini berada di landasan yang betul dalam menuju ke arah negara maju berpendapatan tinggi pada tahun 2020.

Laporan dari agensi bebas luar iaitu Global Competitiveness Report 2011 - 2012 membuktikan kecekapan kerajaan dalam menguruskan ekonomi negara demi kemakmuran dan kesejahteraan rakyat. Butiran yang terkandung dalam laporan tersebut menyatakan :-

  1. Kadar inflasi Malaysia adalah yang terendah, 1.7% berbanding Mesir 11.7%, Indonesia 5.1% , Arab Saudi 5.4%.
  2. Kadar kepercayaan masyarakat kepada ahli politik di Malaysia adalah pada tangga 25 di dunia, lebih baik dari China (26) Jerman (37) Amerika Syarikat (50) dan Jepun (55)
  3. Kedudukan Malaysia adalah pada tangga 10 daripada 142 yang dinilai oleh World Economic Forum yang berpengkalan di Geneva, Switzerland.
  4. Ketelusan polisi kerajaan Malaysia adalah pada tangga ke 26.
  5. Kadar pembayaran gaji dan produktiviti di Malaysia adalah yang ke 4 terbaik di dunia.
  6. Kualiti pendidikan di Malaysia adalah pada tangga ke 14 terbaik di dunia.
  7. Kedudukan infrastruktur jalanraya di Malaysia adalah pada tangga ke 18 terbaik di dunia.
  8. Kualiti pelabuhan di Malaysia juga berada yang ke 15 terbaik di dunia.
  9. Perlindungan kepada pelabur di Malaysia juga adalah yang ke 4 terbaik di dunia. Dakwaan bahawa negara ini tidak selamat untuk pelabur seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak adalah fitnah pembangkang semata-mata.

Kejayaan ini tidak datang bergolek dan tidak terhidang di atas dulang emas. Ia adalah hasil ikatan kerjasama dan perangcangan yang sistemetik antara Kerajaan dan Rakyat 1Malaysia.

*petikan dari abu ubaidi

Belia modal insan berkualiti jamin masa depan negara

MAJU atau mundur sesebuah negara pada masa depan banyak bergantung kepada pembangunan golongan belia. Sebab itulah, belia hari ini menjadi aset penting kepada negara kerana merekalah bakal menerajui tampuk kepemimpinan masa depan. Pepatah ada mengatakan bahawa belia adalah pewaris negara amat bertepatan kerana mereka akan mewarisi tampuk pemerintahan negara apabila tiba masanya. Di tangan merekalah negara dicorakkan, termasuk melakukan perubahan dikehendaki. Bagi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak belia dianggap sebagai ‘superhero’ kerana mereka sememangnya golongan yang mempunyai kuasa melakukan perubahan berkenaan. Program transformasi yang dilaksanakan kerajaan tentunya bergantung kepada keupayaan belia untuk meneruskannya dengan lebih sempurna andainya tenaga dan fikiran orang muda ini dijana bersama dengan kerajaan. Kita memahami pendirian Perdana Menteri apabila beliau menegaskan bahawa kerajaan sentiasa terbuka untuk mendengar pandangan dan idea orang muda bagi membangunkan negara. Generasi yang ada sekarang akan melalui zaman mereka dan apabila tiba masanya, kepemimpinan negara akan diambil alih golongan ini dan pembangunan negara perlu diteruskan, ibarat menyerahkan baton kepada generasi akan datang. Apabila menerima baton ini, adalah menjadi tanggungjawab mereka pula untuk membawanya lebih jauh agar negara dapat mencapai tahap kemajuan lebih tinggi. Oleh itu, tidak ada salahnya sekiranya sebagai pewaris negara, mereka turut berfikiran kritikal dan memberi pandangan positif kerana ia adalah kunci kejayaan negara. Sebab itulah kerajaan pimpinan UMNO sebagai parti teras dalam Barisan Nasional sentiasa memberi fokus kepada generasi muda agar bersama kerajaan dalam membangunkan negara.
Belia pula harus membuktikan berkemampuan menyahut cabaran kerajaan untuk tampil dengan semangat tinggi sebagai generasi pelapis bagi memikul tanggungjawab terhadap negara, bangsa dan agama pada masa depan. Seperti kata Perdana Menteri, kekuatan sesebuah kerajaan bukannya kerana faktor ketenteraan tetapi minda dan ilham yang dapat dijadikan kenyataan demi manfaat rakyat. Belia hari ini harus bersedia dan dipersiapkan dengan ciri-ciri hebat untuk muncul sebagai modal insan berkualiti tinggi, bertanggungjawab dan mempunyai jati diri supaya boleh diharapkan untuk memimpin negara dan mensejahterakan rakyat. Mereka tidak boleh terjebak dengan gejala rasuah, jenayah, penagihan dadah, seks bebas dan masalah sosial yang merosakkan akhlak. Sebagai pewaris kepemimpinan negara, belia juga harus berwaspada agar tidak terpengaruh dengan dakyah pembangkang yang sentiasa berusaha menggagalkan setiap dasar kerajaan kerana ia boleh menghancurkan masa depan negara.
*petikan dari minda pengarang berita harian

Swasta dibantu laksana PR1MA

SEREMBAN: Kerajaan akan membantu pemaju swasta melaksanakan Program Perumahan 1Malaysia (PR1MA), iaitu perumahan mampu milik berkualiti untuk golongan berpendapatan sederhana dengan menyediakan dana pembangunan prasarana projek berkenaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata kaedah itu adalah cara kerajaan campur tangan menjayakan perkongsian awam-swasta, tetapi kos prasarana berkenaan sangat kecil daripada nilai keseluruhan projek.
Katanya, projek perumahan mampu milik dimajukan Sime Darby di sini, menepati konsep perumahan mampu milik dan berkualiti yang sedang diperjuangkan kerajaan untuk rakyat berpendapatan sederhana.
“Rumah berharga antara RM200,000 hingga RM250,000 dan apartmen studio berharga dalam lingkungan RM140,000 dapat memenuhi keperluan golongan berpendapatan antara RM2,000 hingga RM6,000 yang amat memerlukan rumah.

“Bagaimanapun, mereka tidak mampu akibat harga rumah sangat tinggi di pasaran, tetapi melalui kerjasama antara swasta dan kerajaan, saya percaya dapat membekalkan rumah berkualiti untuk dimiliki golongan ini,” katanya pada sidang media selepas melancarkan PR1MA Sime Darby di Bandar Ainsdale, Jalan Labu dekat sini, semalam.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan; Pengerusi Sime Darby Berhad, Tun Musa Hitam serta Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Sime Darby, Datuk Mohd Bakke Salleh.

Kira-kira 62 hektar daripada 220 hektar pembangunan Bandar Ainsdale diperuntukkan untuk pembinaan 420 rumah mampu milik berkualiti.
Antara pemaju lain terbabit dalam fasa pertama PR1MA ialah Putrajaya Holdings, SP Setia Bhd, Tradewinds, Cyberview Sdn Bhd, MRCB Resources Bhd dan 1MDB dengan keluasan keseluruhan 370.04 hektar.

Terdahulu ketika berucap, Najib mengingatkan pemaju swasta supaya memajukan PR1MA sebagai projek untuk rakyat serta tidak mengambil terlalu banyak untung, tetapi pada masa sama tidak hingga menanggung kerugian.

Katanya, selepas PR1MA dilancarkan di Putrajaya Julai lalu dan kini di Bandar Ainsdale, lebih banyak projek perumahan mampu milik untuk golongan berpendapatan sederhana akan dilancarkan secara berperingkat di seluruh negara.

“Ketika dilancarkan di Presint 13 Putrajaya, sambutannya amat hebat hingga saya sendiri khuatir dan gerun. Ini kerana harga rumah dibina antara RM50,000 hingga RM60,000 lebih murah berbanding pasaran,” katanya.

Sementara itu, Najib berkata, kerajaan peka dengan kehendak dan keperluan rakyat, terutama apabila proses urbanisasi berlaku di negara ini menyebabkan kira-kira 70 peratus penduduk tinggal di bandar.

Katanya, ketika golongan berpendapatan rendah mendapat bantuan memiliki rumah dan golongan kaya tidak berdepan masalah berbuat demikian, golongan berpendapatan sederhana kurang mendapat perhatian menyebabkan kerajaan memperkenalkan PR1MA.