LEGA. Itulah kesimpulan yang dapat dibuat apabila Timbalan Menteri
Pengangkutan, Abdul Aziz Kaprawi menjelaskan kerajaan tidak bercadang menetapkan
tempoh usia kenderaan bagi tujuan pelupusan. Sejak ‘penemuan’ kajian bahawa
kenderaan terutama yang berusia melebihi 12 tahun tidak selamat berada di jalan
raya, ramai pengguna yang gelisah. Walaupun keputusan muktamad belum dibuat
ketika itu, tetapi cakap-cakap yang kedengaran ialah kerajaan akan melaksanakan
cadangan tersebut, maknanya kenderaan berusia 12 tahun akan dihapuskan. Maka
banyaklah komentar yang didengar. Tidak kurang juga yang menuding jari terhadap
kerajaan yang diterajui Barisan Nasional (BN). Pihak ini yang sentiasa mencari
‘kesalahan’ walaupun tujuan pelaksanaan cadangan itu untuk kebaikan akan
mengambil kesempatan untuk memburukkan kerajaan.
Menyelak kembali bagaimana isu mengehadkan usia kenderaan ini timbul, ia
adalah hasil kenyataan Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan
Raya Malaysia (MIROS), Prof. Dr. Wong Shaw Voon. Ketika itu di Melaka, pada 15
November lalu, beliau menyatakan bahawa kenderaan terutama yang berusia melebihi
12 tahun tidak selamat berada di jalan raya kerana ia mengundang risiko kematian
lebih tinggi semasa kemalangan berbanding kereta baharu. Kenyataan itu
seharusnya diteliti dengan baik supaya tidak ada pihak yang melatah dan membuat
andaian tidak tepat berhubung kenyataan berkenaan.
Rujuk kembali beberapa fakta berkaitan kenyataannya iaitu:
* Kenderaan berusia terdedah dengan pelbagai kerosakan yang mungkin tidak
disedari pemandu dan mengurangkan daya serapan tenaga pelanggaran ketika berlaku
kemalangan.
* Kebanyakan kereta direka bentuk untuk jangka hayat antara lima hingga 12
tahun. Bagaimanapun jangka hayat kenderaan turut dipengaruhi beberapa faktor
seperti reka bentuk, cara pemanduan dan penyelenggaraan.
* Kenderaan seperti teksi mempunyai jangka hayat selamat yang lebih pendek
iaitu lima tahun disebabkan penggunaannya melebihi 12 jam sehari berbanding
kereta lain.
* Kereta lama mempunyai daya menyerap tenaga perlanggaran lebih rendah
berbanding kereta baharu dan daya tersebut kemudian dipindahkan kepada penumpang
sehingga menyebabkan kecederaan teruk yang boleh mengundang risiko kematian.
* Kenderaan baharu dilengkapi teknologi terkini melibatkan reka bentuk kereta
terutama untuk menyerap tenaga perlanggaran bagi mengurangkan risiko kematian
akibat kemalangan.
Berdasarkan kenyataan itu, usia kereta bukan faktor utama sebaliknya turut
melibatkan cara pemanduan serta penyelenggaraan yang betul bagi mengurangkan
risiko kematian akibat kemalangan. Di jalan raya atau di lebuh raya, kenderaan
yang bagaimana memecut laju? Mungkin disebabkan kelajuan ini, kereta itu
terbabas dan melibatkan kereta lama yang sudah berusia. Dalam hal ini, siapakah
yang bersalah? Adakah kereta yang sudah lanjut usia atau pemandu kereta baharu
yang memecut laju sehingga terbabas? Di sinilah cara pemanduan menjadi faktor
penyebab kemalangan.
Begitu juga dengan penyelenggaraan. Adakah setiap kenderaan yang berada di
atas jalan menjalani ujian berkala sekurang-kurangnya setahun sekali? Jika ada
di mana ia dilakukan? Lihatlah di jalan raya termasuk lebuh raya, adakah tidak
ada langsung kereta baharu yang tersadai di tepi jalan? Berkaitan
penyelenggaraan, cuba selak apa yang dilakukan terhadap teksi di negara ini.
Begitu juga pengangkutan awam lain.
Teksi yang dikatakan jangka hayat hanya lima tahun tetapi boleh bergerak di
atas jalan sehingga 10 tahun. Pernah sebelum ini, ia hanya layak untuk lima
tahun tetapi kemudiannya boleh dijadikan kenderaan biasa. Jangka hayat itu
kemudiannya ditingkatkan kepada tujuh tahun dan selepas itu boleh ditukar kepada
kenderaan biasa. Seterusnya kini 10 tahun. Istimewanya teksi ini ialah, setiap
kenderaan perlu memasuki pemeriksaan kenderaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan
Berkomputer (Puspakom) setiap enam bulan. Di situ pelbagai aspek fizikal
kenderaan diperiksa termasuk keadaan tayar dan brek. Setiap kali pemeriksaan,
pemandu dikenakan bayaran sebanyak RM55 dan jika gagal, kehadiran kali kedua
dikenakan RM25. Bagi memastikan tidak menanggung kos berikutnya, maka setiap
pemilik teksi perlu memastikan kenderaan mereka benar-benar dalam keadaan
terbaik termasuk kebersihan. Semua ini memerlukan kos yang tinggi supaya ujian
pertama di Puspakom tidak gagal. Gagal bermakna mereka akan hilang mata
pencarian untuk beberapa hari. Dalam hal ini, bantuan Tayar 1Malaysia (TR1Ma)
dapat meringankan beban pemandu teksi. Persoalannya kenapa mereka ini tidak
dilayan seperti 1,000 pemilik Teksi 1Malaysia (Teks1M) yang dikecualikan
membayar kos pemeriksaan?
Mengikut pengalaman kebanyakan pemandu teksi, mereka akan berhadapan dengan
masalah disebabkan kualiti kenderaan yang dijadikan teksi. Ada sahaja masalah
melibatkan teksi yang sepatutnya lasak bagi menampung jumlah penumpang dan jarak
perjalanan setiap hari. Banyak kos yang dikeluarkan terutama semasa mahu
memasuki Puspakom. Tidak hairanlah ada pemandu yang terpaksa meminjam tayar
rakan-rakan lain semasa menjalani pemeriksaan. Begitulah ketegasan pihak
berkuasa melakukan pemeriksaan terhadap teksi. Kenapa teksi atau pengangkutan
awam lain sahaja yang perlu menjalani pemeriksaan ini? Adakah nyawa pemandu dan
penumpang kenderaan lain tidak ada nilainya?
Kembali kepada jangka hayat kenderaan. Bayangkan jika had 12 tahun
dilaksanakan. Berapa banyak pemilik kenderaan akan mengeluh. Sudah tentu ramai
(kebanyakan golongan berpendapatan rendah) yang mempunyai kereta yang sudah
berusia 12 tahun atau menghampiri usia itu. Golongan ini, membeli kenderaan
melalui pinjaman bank dengan bayaran ansuran selama sembilan tahun. Pihak bank
akan memberi apa sahaja alasan untuk mendorong pembeli memilih bayaran balik
selama sembilan tahun. Ini bermakna selepas dapat bernafas sedikit setelah
melangsaikan hutang selama 108 bulan, pemilik kenderaan hanya mempunyai tempoh
empat tahun lagi sebelum kereta itu dilupuskan. Mahu dijual mungkin murah. Masuk
akhir tahun 12, pengguna akan mula memikirkan untuk memulakan hutang baru bagi
membeli kenderaan. Begitulah seterusnya. Semuanya ini pasti akan memberi kesan
kepada kos kehidupan rakyat terutama golongan berpendapatan rendah.
Adakah langkah ini juga bertujuan mengurangkan jumlah kenderaan di atas jalan
raya terutama di kawasan bandar?
Seperkara lagi, sejauh mana usaha yang dilakukan untuk mengurangkan
kemalangan di jalan raya? Beberapa langkah yang diambil sebelum ini nampaknya
kurang mendapat perhatian banyak pihak malahan ada yang membuat bantahan. Memang
agak sukar untuk memperkenalkan sesuatu demi kebaikan bersama. Ada sahaja alasan
dan asakan yang ditimbulkan sehingga pihak berkuasa yang melaksanakan
undang-undang berada dalam keadaan serba salah. Begitulah apabila pihak berkuasa
perlu akur mendengar isi hati rakyat
Petikan dari Utusan Malaysia.